Pembentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membentuk satu pelan pembangunan bagi sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Pelan pembangunan itu termasuk dasar-dasar yang akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.

Kerajaan telah menunjukkan initiatif untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam. SPAD akan bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan ini termasuk rel, bas dan teksi. Antaranya, masalah kesinambungan yang dihadapi semua pengguna perlu diutamakan.


SPAD akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar. Ia bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar yang dibangunkan.

Pengerusi SPAD menyatakan bahawa suruhanjaya akan merealisasikan maklamat yang ditetapkan secara holistik dan bukan untuk tujuan tertentu sahaja. Pelan jangka masa panjang akan dikaji. Namun adakah Malaysia berkeupayaan untuk mempertahankan pendekatan holistik ini?

Kesinambungan dan kebolehaksesan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan pengangkutan awam. Kesinambungan bererti satu sambungan dari rumah ke pengangkutan awam ke destinasi dan sebaliknya. Kebolehaksesan diperlukan untuk penggunaan semua orang, sama ada orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak dapat menyediakan satu-satu sistem yang sempurna berasaskan teori yang mudah ini. Kita boleh lihat banyak stesen bus yang dibina di kawasan yang jauh dari jalan utama yang menyebabkan pengguna tidak dapat akses ke stesen bus itu. Isu kebolehaksesan merupakan masalah yang menghantui para pengguna OKU.

Oleh sebab SPAD masih dalam peringkat awal penubuhannya, maka keperluan OKU perlu dipertimbangkan. Pembentukan jawatankuasa OKU di SPAD adalah wajar untuk dipertimbangkan. Sebenarnya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dapat dinilai oleh pengguna.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan Malaysia akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsan-Bangsa Bersatu tentang Hak OKU pada masa akan datang. Artikel 9 dalam konvensyen menyatakan kebolehaksesan merupakan salah satu ciri untuk penyertaan adil OKU dalam masyarakat.

Jadi, Malaysia harus membangunkan dasar pengangkutan awam yang bersesuaian dengan golongan OKU.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia