SHAH ALAM – Hasrat seorang wanita melunaskan saman dikatakan sebanyak RM50 berkecai apabila dipedaya scammer sehingga kerugian RM31,638.85, baru-baru ini.

Ini selepas scammer menggunakan emel palsu dalam urusan pembayaran saman trafik PDRM.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 37 tahun itu telah menerima satu emel menyatakan mempunyai satu rekod saman PDRM.

Katanya, emel tersebut turut menyertakan portal rasmi MyBayar PDRM untuk mangsa membuat semakan dengan wanita itu mendapati saman tersebut atas kenderaannya.

“Emel palsu tersebut kemudian memberi amaran supaya mangsa segera membuat bayaran saman tersebut atau tindakan selanjut akan diambil.



“Mangsa kemudiannya telah menekan pautan laman berkenaan palsu itu bagi pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa juga telah mengisi butir-butir perbankan menerusi borang yang disediakan dalam pautan tersebut bagi pembayaran saman RM50.

Setelah butiran perbankan dimasukkan, transaksi bayaran tersebut telah gagal dengan skrin laman web palsu itu menyatakan nombor kod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima tidak sah.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas menerima panggilan daripada pihak bank menyatakan wang daripada akaunnya dipindahkan sebanyak tiga kali berjumlah keseluruhan RM31, 638.85 dalam masa singkat ke akaun lain,” katanya.