IPOH – Bimbang ditangkap kerana kononnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, seorang pesara wanita kerugian kira-kira RM1.4 juta selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan itu bermula selepas wanita berusia 62 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 27 Mac 2020 dengan memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran barang.

Katanya, individu terbabit memberitahu mangsa yang dia mempunyai satu bungkusan yang bermasalah.

“Mangsa kemudian membuat pengesahan dakwaan itu melalui nombor telefon palsu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diberikan suspek dan bercakap dengan seorang lelaki menyamar pegawai polis.

“Pegawai polis itu telah memberitahu bahawa mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan dadah selain mempunyai waran tangkap mahkamah atas namanya,” katanya, di sini hari ini.



Menurut beliau, mangsa yang mempercayai penipuan itu telah mendedahkan semua maklumat akaun banknya dan akaun dompet digital kepada suspek selain mengikut arahan membuat pindahan wang kepada akaun bank milik individu lain.

Katanya, sepanjang urusan dengan IPK Sabah, wanita itu telah berkomunikasi dengan lima suspek menyamar pegawai polis dalam perwatakan berlainan.

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas menunggu sekian lama seorang suspek yang konon mahu berjumpa dengannya di Ipoh sejak tahun 2020.

“Dalam kes ini, mangsa yang tinggal di Taman Wah Keong mengalami kerugian sebanyak RM1,417,019.84,” katanya.

Tambah beliau, mangsa membuat laporan polis berkaitan penipuan itu semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.