LANGKAWI: Kerajaan mengumumkan peruntukkan RM79.68 juta bagi melaksanakan inisiatif Bantuan Harapan Negara (BHN) 2019 bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kategori B40.Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata sejumlah 159,368 veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima bantuan sekali berjumlah RM500 yang mula dibayar Mei ini.“Kerajaan bersetuju meluluskan pelaksanaan BHN2019 bagi menggantikan Bantuan Bakti Negara (BBN) 2017 dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1 Malaysia (SVTB1M).“BHN 2019 adalah penghargaan berterusan kerajaan kepada veteran ATM atas kesetiaan dan pengorbanan mereka kepada negara selain bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.Mohamad berkata, walaupun menghadapi kekangan kewangan, kerajaan tetap melaksanakan BHN 2019 kepada penerima lebih ramai berbanding BBN 2017.

“Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan bertanggungjawab melaksanakan BHN 2019, termasuk menyediakan kemudahan pendaftaran permohonan, menentukan kelayakan dan meluluskan permohonan, memaklumkan status permohonan dan melaksanakan pembayaran.“Permohonan BHN 2019 akan dibuka pada 14 April ini dan bayaran akan dibuat mulai 27 Mei dengan pendaftaran boleh dibuat di Pejabat JHEV berdekatan,” katanya.