KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi tanpa tunai boleh membantu mengurangkan gejala rasuah di negara ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.“Saya pasti aktiviti rasuah berlaku disebabkan penggunaan wang tunai. Jadi, dengan menggunakan teknologi tanpa tunai ia boleh membantu mengurangkan rasuah.“Menerusi teknologi berkenaan ia sebagai langkah ke hadapan dan saya fikir ia adalah baik untuk setiap negara terutama bagi Malaysia," katanya pada perasmian perkhidmatan WeChat Pay MY, di sini, hari ini.Guan Eng berkata, penggunaan wang tunai di Malaysia adalah tinggi walaupun trend menunjukkan penurunan.“Mengikut data Bank Negara Malaysia (BNM), penggerakan penggunaan wang tunai di negara ini bernilai RM106 bilion pada 2018 atau kira-kira 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).“Ia lebih rendah berbanding 2017 dan 2016 iaitu masing-masing 7.7 peratus dan 7.9 peratus. Penurunan itu adalah disebabkan penggunaan aplikasi mudah alih dan pembayaran atas talian yang semakin meluas di Malaysia,” katanya.

Malah menurut Guan Eng, laporan Nielsen pada Januari menunjukkan 67 peratus di kalangan pengguna Malaysia menggunakan pembayaran tanpa tunai menerusi kad debit dan perbankan atas talian.Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan wang kertas RM60 di Malaysia, Guan Eng berkata ia tidak akan menggantikan wang kertas RM50 yang sedia ada.“Pengeluaran wang kertas RM60 hanya sebagai terbitan khas (peringatan) dan ia dikeluarkan dalam kuantiti terhad, sebanyak 60,000 keping saja.“Dakwaan mengatakan wang kertas itu akan menggantikan RM50 adalah palsu. Wang kertas RM50 masih sah dan boleh digunakan dengan yakin.“Wang kertas RM60 sah digunakan (legal tender) tetapi lebih baik sekiranya ia disimpan, mungkin lagi lama, nilainya akan menjadi lagi tinggi,” katanya.Pada Disember 2017, BNM mengeluarkan wang kertas peringatan RM60 sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.