CYBERJAYA, 31 Mac 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) dan komputer riba, dalam operasi serbuan terbaru di beberapa buah negeri awal minggu ini bagi mengekang penyalahgunaan media sosial.Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Dato’ Mohd Shafie Harun memaklumkan, selain barang-barang berkenaan, turut ditemukan dalam serbuan itu adalah gambar-gambar lucah dan video seks berkaitan dengan kes-kes yang disiasat.

Menurutnya, operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Serbuan terbaru ini dibuat selepas pihak MCMC menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di 11 lokasi di beberapa buah negeri yang lain.Jelas Dato’ Shafie, kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh suspeksuspek menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video-video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan niat untuk menganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.Kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital MCMC untuk analisa forensik digital. Sejak 2018 sehingga 30 Mac 2019, 710 barang kes telah disita. Sementara itu, jabatan ini telah menerima 237 kes pada tahun 2018 dan bagi tahun ini, 110 kes telah diterima setakat 30 Mac 2019.

Kes-kes yang berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan 1 untuk diselesaikan dalam masa 2 hingga 4 minggu, manakala kes-kes keutamaan 2 harus diselesaikan dalam masa 12 minggu; dan keutamaan 3, 24 minggu.Dalam pada itu, Dato’ Shafie juga berkata, kempen advokasi di seluruh negara menerusi program Klik Dengan Bijak akan terus diperhebatkan bagi menyemai penggunaan Internet secara berhemah dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk membuat aduan kepada pihak MCMC sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan isu salah guna media sosial. Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan ke platform-platform seperti berikut: a. E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. b. Talian aduan: 1800-188-030 c. WhatsApp : 016-2206 262 d. SMS: 15888 e. Twitter: @MCMCReact