KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan hari ini memperkenalkan kad XTRA20 yang memberikan diskaun 20% di setiap hentian kereta api bagi meningkatkan kembali bilangan pengguna KTM yang dilihat semakin berkurangan setiap tahun.Menteri Loke Siew Fook berkata tindakan kerajaan terdahulu menaikkan kadar tambang KTM dari 11 sen kepada 15 sen per kilometer memberi kesan kepada pengguna terutamanya golongan sederhana dan B40.“Tahun 2015 bilangan penumpang mencapai 50 juta setahun tetapi apabila kadar dinaikkan pada 2016, bilangan penumpang menjunam ke 41 juta orang setahun dan angka itu terus menurun pada 2017 dengan rekod 37 juta setahun dan terbaru bilangan penumpang jatuh kepada 32 juta setahun.

“Mungkin trend penurunan ini juga ada kaitan dengan faktor projek membaikpulih landasan dan persaingan dengan MRT tetapi kita harus ambil kira sikap kerajaaan terdahulu yang memberi tekanan dan bebanan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran XTRA20, tengah hari tadi.Untuk memperoleh kad tersebut, pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad dan akan menerima kad XTRA20 di kaunter KTM Komuter untuk warganegara berusia antara 13 hingga 59 tahun.Mereka hanya perlu melakukan tambah nilai kad itu dan dapat menikmati diskaun 20% bagi setiap transaksi perjalanan bagi semua perkhidmatan KTM Komuter.Sebanyak 40,000 kad XTRA20 pertama akan diedarkan secara percuma dan selepas itu, pengguna hanya perlu membayar RM3 untuk mendapatkan kad berkenaan.

“Dalam satu-satu masa pengguna boleh berjimat sehingga RM60 sebulan, jadi bolehlah ringankan kos perjalanan sebab kita nak galakkan rakyat guna pengangkutan awam serta boleh guna diskaun yang diperoleh untuk membeli barang lain,” katanya.Kementerian Pengangkutan menyasarkan peningkatan 20% bilangan penumpang iaitu daripada 90,000 penumpang setiap hari kepada 108,000 pada tahun ini.Dalam masa sama, Loke berkata waktu ketibaan tren KTM Komuter akan dipaparkan secara langsung selewat-lewatnya bulan Mei atau Jun ini melalui platform digital terbuka dan aplikasi KTMB yang hampir siap dibangunkan.