PARIS: Lebih 113 juta orang di 53 negara mengalami ‘kebuluran akut’ tahun lalu berikutan perang dan bencana iklim, dengan Afrika rantau paling teruk terjejas, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) berkata dalam laporan global berkaitan krisis makanan 2019 berkata, Yaman, Republik Demokratik Congo, Afghanistan dan Syria antara lapan negara mencatat dua pertiga jumlah penduduk di seluruh dunia yang terdedah kepada risiko kebuluran.Dilancarkan tiga tahun lalu, kajian tahunan itu mencatat bekalan negara yang berdepan kesukaran terbesar.Negara Afrika terjejas secara tidak seimbang dengan hampir 72 juta orang di benua itu menderita kebuluran akut, kata pengarah kecemasan FAO, Dominique Bourgeon kepada AFP.

Konflik dan keadaan tidak selamat kekal faktor utama bersama ketidaktentuan ekonomi dan kejutan berkaitan iklim seperti kemarau dan banjir, kata laporan.

“Di negara yang berada di ambang kebuluran, sehingga 80 peratus penduduk bergantung kepada pertanian. Mereka memerlukan kedua-dua bantuan kecemasan kemanusiaan untuk makanan dan langkah membantu meningkatkan pertanian,” kata Bourgeon.

Laporan itu mengetengahkan tekanan diletakkan ke atas negara yang menganjurkan sejumlah besar pelarian termasuk negara berjiran dengan Syria serta Bangladesh, yang menerima lebih sejuta Muslim Rohingya dari Myanmar.

FAO berkata, ia juga menjangka jumlah penduduk hilang tempat tinggal meningkat ‘jika krisis politik dan ekonomi berterusan di Venezuela’ yang kemungkinan mengisytiharkan darurat makanan tahun ini.

Bourgeon berkata, beliau bimbang dengan peningkatan ketara kemiskinan di Venezuela ketika ia bergelut dengan keadaan daif dari segi ekonomi dan kehidupan diburukkan dengan krisis politik berterusan.

Di peringkat global, kajian itu menunjukkan situasi keseluruhan pulih sedikit pada 2018 berbanding 2017 apabila 124 juta orang mengalami kebuluran akut.

Penurunan itu sebahagiannya berpunca daripada hakikat sesetengah negara di Amerika Latin dan rantau Asia Pasifik misalnya, kurang terjejas dengan bencana cuaca tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, FAO memberi amaran, aliran tahun demi tahun lebih 100 juta orang berdepan kebuluran kemungkinan tidak berubah jika krisis berterusan. -AFP