KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang menyumbang pertambahan penduduk dalam kelompok ‘isi rumah rentan’, iaitu istilah baharu seseorang mudah jatuh miskin atau kurang kemampuan secara tiba-tiba.Fenomena kemiskinan ini boleh berlaku ke atas penduduk di bandar, pinggir bandar atau luar bandar, iaitu status seseorang berubah daripada mampu kepada tidak mampu tanpa mereka bersedia menghadapinya.Pakar Ekonomi Penggunaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Laily Paim yang membuat kajian khusus mengenai golongan kemiskinan rentan berkata, kenaikan harga barang sehingga menyebabkan kos sara hidup meningkat, diberhentikan kerja, kesihatan terjejas dan kurang upaya akibat kemalangan antara punca boleh menjejaskan pendapatan atau sumber kewangan seseorang.

Katanya, kelompok rentan terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah 40 peratus terendah (B40), iaitu bawah RM3,860 dan pendapatan bulanan isi rumah 40 peratus pertengahan (M40), iaitu antara RM5,000 hingga RM10,000.Bagaimanapun, kelompok ini tiba-tiba mengalami kekangan kewangan akibat faktor semasa.“Sebagai contoh, seorang yang berpendapatan RM6,000, memiliki empat anak yang masih bersekolah, tiba-tiba tidak mampu membayar balik pinjaman bank bagi rumah, kereta dan kad kreditnya akibat kenaikan harga barang yang menambah kos sara hidup.“Analoginya, walaupun ada kereta, mahu isi minyak kereta pun tidak mampu. Maknanya, dia boleh dikategorikan lebih miskin berbanding sebelumnya.“Berbeza dengan mereka yang menetap di kampung, masyarakat di bandar mungkin memerlukan pengangkutan, alat komunikasi bukan sekadar kemudahan, tetapi lebih kepada keperluan hidup,” katanya kepada BH.

Laily berkata, kesan sosial terhadap isi rumah rentan lebih besar kerana masyarakat tidak bersedia menjadi miskin berbanding golongan yang sedia miskin atau miskin tegar.

“Contohnya, masyarakat miskin di pedalaman seperti Orang Asli sudah menyesuaikan diri dengan kekurangan mereka tanpa ada beban hutang yang banyak berbanding masyarakat bandar.

Sehubungan itu, katanya, program bantuan yang dianjurkan kerajaan mesti mengambil kira tahap kesusahan seseorang bagi memastikan bantuan dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, dalam konteks ini, garis kemiskinan bukan sahaja diukur daripada jumlah pendapatan semata-mata, tetapi perlu mengambil kira aspek lain seperti lokasi, jumlah tanggungan, tahap kesihatan isi rumah dan komitmen bulanan.

“Terdapat dua program bantuan yang baik bagi menangani isu kemiskinan rentan, iaitu secara menyeluruh dengan menurunkan harga barang dan kos sara hidup rakyat.

“Sementara secara individu adalah program mengeluarkan seseorang daripada kemiskinan.

“Isu kemiskinan rentan juga bergantung kepada material seperti kenderaan dan lain-lain kemudahan sebagai keperluan berbanding miskin tegar yang tidak melihat kekurangan kemudahan berkenaan sebagai satu masalah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah mula timbul dalam kalangan isi rumah miskin apabila tanah mereka diambil dan mereka menjadi mangsa pembangunan yang tidak terkawal.

Contohnya, beberapa dekad sebelum ini masyarakat yang menetap di pedalaman, hidup tenang dengan bercucuk tanam dan membela ternakan sebagai punca pendapatan.

“Namun, kehidupan mereka terganggu apabila mereka terpaksa berpindah dan menyewa atau membeli kediaman,” katanya.