Perlaksanaan rebat GST bagi kad prabayar bermula 1 Januari lalu berjalan lancar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semalam.

Beliau berkata, pembayaran rebat itu, yang dimasukkan automatik dalam baki akaun pelanggan, dilakukan dalam tempoh 24 jam pembelian kredit masa berbual.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa pantau perkembangan ini. Kita meminta syarikat telekomunikasi memberi penjelasan (kepada pelanggan) mengenai rebat ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Salleh turut menjelaskan pemberian rebat itu bukan bermaksud GST dalam kad prabayar yang dihapuskan.

“Kita hanya bagi rebat pada warganegara. Bukan warganegara, tidak (nikmati) rebat sedemikian,” jelasnya.

 

Pada 29 Disember  lalu, Salleh berkata, 20 juta rakyat Malaysia akan menikmati faedah rebat GST bagi kad prabayar mulai tahun ini.

Di Kuala Lumpur, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, proses rebat itu berjalan lancar, namun syarikat telekomunikasi perlu melipatgandakan usaha memaklumkan penjual dan ejen mereka berhubung mekanisme rebat supaya pengguna mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai perkara itu.

Beliau berkata, semua syarikat telekomunikasi melaksanakan pemberian rebat seperti diarah kerajaan dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran perlaksanaan proses itu.

“Setakat ini, pemantauan mendapati pelaksanaan rebat berjalan lancar, tetapi kami akan terus pantai,” katanya.

Beliau berkata, melalui makluman balas dan pemantauan yang dijalankan SKMM, walaupun tiada aduan daripada pengguna, syarikat telekomunikasi sedar ada segelintir  penjual dan ejen masih belum memahami proses itu.

Halim berkata, pelaksanaan rebat itu tidak bermakna GST perkhidmatan prabayar telah dimansuhkan.

“Pada pembentangan Bajet 2016 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan skim rebat yang dimaksudkan dan bukannya pemansuhan GST untuk perkhidmatan prabayar mudah alih seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

“SKMM ingatkan pengguna sosial supaya tidak sebar makluma tidak tepat dan pastikan sumber yang boleh dipercayai,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian – Nasional – 4 Januari 2016 (Isnin)