Kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya bandar yang akan berkuat kuasa esok tidak sesuai pada masa ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan memperjuangkan mengenai kos sara hidup rakyat, namun tetap membenarkan kadar tol dinaikkan.

"Dalam belanjawan yang lalu, kos sara hidup menjadi tumpuan utama kerajaan. Apabila kadar tol dinaikkan, rakyat akan mula tertanya-tanya dimana matlamat utama perjuangan kos sara hidup oleh kerajaan?

"Kenaikan kadar tol ini jelas akan membebankan rakyat terutama apabila mereka ditekan dengan kenaikan harga minyak dan perlaksanaan GST (Cukai barang dan perkhidmatan)," Katanya, semalam.

Menurutnya, apabila kadar tol dinaikkan, ia akan beri kesan berangkai terutama kepada syarikat pengangkutan.

"Selain individu yang terkesan kerana terpaksa membayar tol, syarikat pengangkutan juga sudah tentu akan menaikkan kadar tambang mereka. Kesannya akan turut dirasai oleh mereka yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, saranan menggunakan hasil GST untuk menampung kenaikan tol adalah tidak sesuai kerana ia bertujuan untuk pembangunan negara.

Beliau berkata lagi, kerajaan perlu memikirkan mekanisme lain yang boleh dilakukan akibat kenaikan kadar tol ini.

"Perlu lebih banyak insentif atau diskaun diberikan kepada pengguna selain keselesaan berkualiti tinggi disediakan oleh pihak lebuh raya," katanya.

 

Sumber : Sinar Harian - (Rabu, 14 Oktober 2015)