Pengguna di negara ini dijangka mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah, menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dari sudut positif, TPPA memberi kelebihan kepada pengguna domestik kerana kemasukan produk asing ke Malaysia akan mewujudkan persaingan sihat kerana harga produk menjadi lebih kompetitif.

 

"Bagaimanapun, dari sudut lain, kesan kemasukan produk asing tanpa kawalan boleh menyebabkan lambakan produk, selain berkemungkinan menjejaskan 'periuk nasi' usahawan tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kerajaan perlu memantau rapi perkara ini kerana kitak mahu perniagaan tempatan terjejas dengan akses mudah produk asing ke Malaysia tanpa sebarang kawalan," katanya.

 

Bincang Sensitiviti

Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengumumkan rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru ini untuk bersetuju mempertimbang hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara serta Bumiputera.

"Sebaik sahaja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di parlimen untuk dibahas.

"Kita juga mengadakan rundingan penuh dengan pihak berkepentingan dan orang awam," katanya.

Beliau yakin Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan Negara atau yang menjejaskan dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.

Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu membuat penjelasan terperinci mengenai butiran baharu TPPA kepada rakyat dan pihak berkepentingan supaya wujud persepsi serta tanggapan negatif mengenainya.

 

Sumber : Berita Harian - (7 Oktober 2015, Rabu)