Insentif bersesuaian untuk penggunaan perkhidmatan jalur lebar mengikut taraf pendapatan rakyat, wajar dipertimbangkan secara serius dalam bajet 2016, selaras usaha kerajaan untuk meningkatkan produktiviti.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata internet kini menjadi keperluan rakyat, khususnya dalam menyelesaikan pelbagai urusan seperti transaksi perbankan, pembaharuan insurans dan semakan kerja.

 

Bagaimanapun, katanya, caj dikenakan bagi perkhidmatan itu merangkumi sekitar 10 hingg 15 peratus daripada perbelanjaan isi rumah golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Rakyat Malaysia lazimnya memilih opsyen jalur lebar berkelajuan rendah hingga sederhana kerana tidak mampu menampung bil bulanan yang membebankan. Justeru, kerajaan dan syarikat telekomunikasi harus bekerjasama memberi perkhidmatan jalur lebar berkualiti pada harga lebih berpatutan pada rakyat.

 

Tingkat Mutu Perkhidmatan

"Taraf perkhidmatan jalur lebar, khususnya dikawasan pedalaman juga perlu dipertingkatkan menerusi pembangunan kemudahan dengan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat telekomunikasi," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mohd Yusof yakin bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober ini, akan memberi suntikan bantuan fasa pertama untuk rakyat, pasca perlaksanaan CUkai BArang dan Perkhidmatan (GST).

Sehubungan itu, katanya, kos perbelanjaan jalur lebar yang ditanggung isi rumah, termasuk bagi tujuan pembelajaran secara atas talian untuk kanak-kanak wajar diberi pertimbangan menerusi pemberian insentif bersesuaian.

"Bukan semua urusan atas talian, khususnya perbankan dan semakan maklumat peribadi boleh menggunakan jalur lebar percuma kerana ia mempunyai risiko keselamatan.

"Oleh itu, hasil kutipan GST harus disalurkan kembali kepada rakyat, termasuk usaha meningkatkan perkhidmatan jalur lebar yang menjadi sebahagian daripada bebanan kos sara hidup,"katanya.

 

Sumber : Berita Harian - (5 Oktober 2015, Isnin)