Marcapada yang serba moden lagi canggih ini terdapat lambakan produk kecantikan yang menjadi dambaan golongan wanita khususnya. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai bahayanya pengambilan produk tidak berdaftar yang berlabel "Figure Up". Lebih malang, produk ini amat mudah untuk didapati melalui penjualan internet. Produk ini dipercayai mampu untuk menurunkan berat badan. Tetapi tahukah anda akan kandungan bahan yang terdapat pada produk ini? Adakah anda pasti produk tersebut adalah selamat untuk digunakan?

Produk ini sebenarnya mengandungi bahan sibutramine iaitu ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti. Tetapi pada 23 Disember 2012, Malaysia telah menarik balik pendaftaran ubat-ubatan yang mengandungi bahan sibutramine atas sebab peningkatan risiko seperti serangan jantung dan strok. Tahap kesedaran pengguna di negara kita mungkin masih rendah tetapi perlukah kita mengambil risiko semata-mata untuk kecantikan diri? Saya puji dengan tindakan KKM dan juga BPFK yang menyedarkan pengguna akan tahap keselamatan sesuatu produk.

Selain itu, KKM juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar supaya mengelakkan dari mengguna produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun seperti merkuri yang boleh memudaratkan kesihatan. Dari sini sudah jelas, para pengguna perlu lebih berhati-hati dengan lambakan produk kecantikan yang terdapat di pasaran. Paling penting, sebelum membeli, penguna perlu lihat label yang terdapat pada produk tersebut sama ada sudah berdaftar dengan KKM atau belum. Pengguna boleh berkunjung ke laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk menyemak senarai produk yang telah berdaftar dengan KKM.

Bagi produk ubat-ubatan  yang telah berdaftar dengan KKM akan mempunyai nombor pendaftaran MAL diikuti dengan 8 nombor digit dan diakhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut sebagai contoh MAL12345678N. Terdapat 4 kategori huruf bagi setiap pendaftaran produk iaitu huruf A untuk produk yang mengandungi racun terkawal, huruf X untuk produk yang tidak mengandungi racun terkawal, huruf T untuk ubat tradisional, dan huruf N untuk suplemen kesihatan.

Untuk produk kecantikan pula, produk yang telah berdaftar dengan KKM harus mempunyai nombor pendaftaran NOT diikuti dengan 9 nombor digit dan diakhiri dengan huruf K yang bermaksud produk kosmetik sebagai contoh NOT140501234K.  Selain itu, setiap produk yang telah berdaftar dengan KKM sepatutnya mempunyai label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Namun begitu, jika masih was-was dengan label tersebut, pengguna boleh hubungi mana-mana jabatan yang berkenaan untuk mendapat maklum balas mengenai tahap keselamatan produk tersebut kerana terdapat lambakan produk yang tidak asli.

Hal ini boleh memudaratkan kesihatan pengguna kerana produk yang tidak asli kebiasaannya tidak mengikut piawaian kandungan dadah yang telah ditetapkan oleh pihak KKM.Kita sebagai pengguna perlu bersuara jika terdapat ketidaksahihan maklumat pada sesuatu produk, janganlah beli secara sembrono saja. Diharap mana-mana pihak yang berkenaan dapat memantau produk-produk yang dijual beli melalui internet kerana lambakan produk yang "tidak dikenali" selalunya berasal dari situ.

Pembelian produk ubat-ubatan mahupun produk kosmetik secara online adalah sangat tidak digalakkan berikutan kesukaran bagi pihak pengguna untuk meneliti nombor pendaftaran dan label Hologram Meditag pada pembungkusan produk. Oleh itu, jika ingin membeli produk berkenaan, pengguna disarankan untuk berhubung secara terus dengan pengedar yang sah. Sekurang-kurangnya pengguna dapat melihat secara langsung nombor pendaftaran dan label Hologram Meditag yang terdapat pada pembungkusan produk. Diharap, para pengguna lebih berhati-hati dalam pembelian produk secara online. 

NUR ASYIKIN BINTI AMINUDDIN
PERSATUAN PENGGUNA-PENGGUNA STANDARD MALAYSIA (STANDARDS USERS)