PONTIAN: Program Jualan Rahmah dicadangkan dibuat setiap minggu, khususnya di kawasan pedalaman, bagi menangani isu kekurangan bahan mentah utama di lokasi berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu perlu bagi memudahkan penduduk yang jauh dari pekan atau bandar mendapatkan barang keperluan harian.

Katanya, Jualan Rahmah yang dilaksanakan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) itu terbukti berjaya memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkan barangan serta bahan mentah pada harga lebih murah.

“Jualan Rahmah perlu diperbanyakkan lagi dengan kerjasama pasar raya besar dan saya mengharapkan ia diadakan secara bergerak pada setiap minggu di kawasan pedalaman setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) negara ini, bukan hanya di kawasan bandar atau pekan sahaja.


“Ini disebabkan penduduk sukar bergerak ke lokasi yang jauh, jadi kita gunakan kemudahan dewan terbuka atau balai raya bagi menjayakan inisiatif ini,” katanya selepas mengadakan tinjauan barang keperluan di sekitar Pontian, hari ini.

Program Jualan Rahmah mula diperkenalkan KPDN bermula Januari lalu, dengan sejumlah 1,133 lokasi sudah terbabit di seluruh negara ketika itu.

Perdana Menteri melancarkan Program Jualan Rahmah Bergerak buat pertama kalinya pada 16 Jun lalu dan dilaporkan berjaya dilaksanakan di 396 lokasi di seluruh negara.

Terdapat tiga model Jualan Rahmah iaitu dalam premis, luar premis dan #KedaiCariRakyat iaitu Jualan Rahmah Bergerak menerusi lori.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menerusi tinjauan dilakukannya di daerah berkenaan mendapati beberapa bahan mentah utama termasuk bekalan beras tempatan, gula dan minyak masak bersubsidi perlu ditambah lagi berikutan menjadi pilihan pengguna.