GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ibu bapa supaya mengelak memberi alat mainan plastik untuk anak mereka kerana ia didapati mengandungi bahan kimia beracun iaitu parafin berklorin.

Parafin berklorin dikelaskan berdasarkan panjang rantaian karbon merupakan bahan kimia bertoksik yang digunakan di dalam pelbagai jenis plastik termasuk alat mainan kanak-kanak.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, bahan kimia itu dibuktikan boleh menyebabkan kerosakan pada hati dan buah pinggang, mengganggu sistem endokrin, menyebabkan kanser, merosakkan otak yang sedang berkembang dan menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif.

Menurutnya, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahan kimia dalam alat mainan melalui penyedutan habuk toksik, sentuhan kulit dan pendedahan kepada mulut atau dengan mengunyah.

"Ada juga bukti menunjukkan parafin berklorin dibebaskan daripada plastik melalui kitaran hayatnya.



    "Dalam kajian yang dijalankan oleh International Pollutants Elimination Network (IPEN) ke atas 31 sampel alat mainan plastik yang dikumpulkan dari 10 negara termasuk Malaysia, didapati kedua-dua parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan parafin berklorin rantai sederhana (MCCP) ditemui dalam semua alat mainan yang diuji.

"Antara alat mainan yang diuji ialah kuda tiup, ayam menjerit, itik getah, anak patung dan beruang plastik. Sampel ini dianalisis di makmal di Prague," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, ujian terbaharu yang dijalankan di Kanada mengesan kepekatan tinggi SCCP dan MCCP di dalam alat mainan dan peranti elektronik.

"Kehadiran SCCP dalam produk ini amat membimbangkan kerana bayi, kanak-kanak kecil dan kanak-kanak mudah terjejas kepada pendedahan daripada sumber itu.

"Walaupun produk yang diuji dibeli di Kanada, ia dikeluarkan untuk pasaran antarabangsa dan dengan itu boleh didapati di Malaysia. Berdasarkan kepada penemuan terbaharu itu, CAP menggesa larangan parafin berklorin yang terdapat dalam alat mainan plastik," katanya.