Marcapada yang serba moden lagi canggih ini terdapat lambakan produk kecantikan yang menjadi dambaan golongan wanita khususnya. Terbaru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai bahayanya pengambilan produk tidak berdaftar yang berlabel "Figure Up". Lebih malang, produk ini amat mudah untuk didapati melalui penjualan internet. Produk ini dipercayai mampu untuk menurunkan berat badan. Tetapi tahukah anda akan kandungan bahan yang terdapat pada produk ini? Adakah anda pasti produk tersebut adalah selamat untuk digunakan?

 

Produk ini sebenarnya mengandungi bahan sibutramine iaitu ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti. Tetapi pada 23 Disember 2012, Malaysia telah menarik balik pendaftaran ubat-ubatan yang mengandungi bahan sibutramine atas sebab peningkatan risiko seperti serangan jantung dan strok. Tahap kesedaran pengguna di negara kita mungkin masih rendah tetapi perlukah kita mengambil risiko semata-mata untuk kecantikan diri? Saya puji dengan tindakan KKM dan juga BPFK yang menyedarkan pengguna akan tahap keselamatan sesuatu produk.

Selain itu, KKM juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar supaya mengelakkan dari mengguna produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun seperti merkuri yang boleh memudaratkan kesihatan. Dari sini sudah jelas, para pengguna perlu lebih berhati-hati dengan lambakan produk kecantikan yang terdapat di pasaran. Paling penting, sebelum membeli, penguna perlu lihat label yang terdapat pada produk tersebut sama ada sudah berdaftar dengan KKM atau belum. Jika masih was-was dengan label tersebut, pengguna boleh hubungi mana-mana jabatan yang berkenaan untuk mendapat maklum balas mengenai tahap keselamatan produk tersebut. Kita sebagai pengguna perlu bersuara jika terdapat ketidaksahihan maklumat pada sesuatu produk, janganlah beli secara sembrono saja. Akhir kata, saya berharap mana-mana pihak yang berkenaan dapat memantau produk-produk yang dijual beli melalui internet kerana lambakan produk yang "tidak dikenali" selalunya berasal dari situ.

Nur Asyikin Binti Aminuddin

Junior Research and Policy Officer

Malaysian Association of Standards Users