PETALING JAYA, 22 MAC 2014 - Bersempena dengan Hari Air Sedunia 2014, yang disambut pada setiap 22 Mac, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)  kerjasama FOMCA dan Forum Air Malaysia, telah menganjurkan acara  THIRSTY RUNNER, yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia. Acara larian yang bertemakan ‘We Run for Water”, merupakan sebuah usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran serta mendidik orang ramai untuk menyedari hakikat kepentingan kelestarian air di Malaysia.

Seramai 2,000 orang pelari dan 200 orang sukarelawan terlibat dalam larian Thirsty Runner ini yang diadakan di Dataran Petaling Jaya. Terdapat dua kategori larian, iaitu 3 km (yang merupakan larian kebajikan) dan 7 km. Pelepasan peserta telah dilakukan oleh Datuk Dr Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan juga WECAM, pada jam 7.30 pagi. Peserta pertama kategori 7 km telah berjaya menamatkan larian dalam tempoh 24 minit.



WECAM, yang juga ahli gabungan FOMCA, merupakan persatuan pengguna yang  mengkhusus dalam menjaga kepentingan pengguna yang berkait dengan air dan tenaga. 

Objektif utama acara larian ini adalah untuk meningkatkan kesedaran peserta-peserta terhadap kepentingan dalam mendapatkan bekalan air yang selamat, sihat dan berterusan. Penganjur berharap melalui acara ini peserta akan menyedari kepentingan bekalan air bersih, selamat dan berterusan, yang merupakan salah satu asas kehidupan sihat. Juga, menerusi acara ini, para peserta akan berikrar untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemat. 

Penaja-penaja acara ini terdiri daripada Tupperware Brands selaku penaja utama, Arte Academy, 100 Plus dan Spritzer sebagai penaja minuman, Fastrack Energy Bar and Simply Juice. Runners Malaysia merupakan rakan media rasmi, manakala MBPJ merupakan tuan rumah acara ini. 

Selain itu, acara ini merupakan contoh wujudnya kerjasama strategik antara NGO (WECAM), kerajaan (MBPJ) dan sektor swasta (penaja). Ini merupakan bukti bahawa air itu adalah hak semua tanpa mengira latar belakang.

Pengarah Urusan Tupperware Brands, Tham Ying Hoong telah memuji WECAM dan UN Water kerana manganjurkan acara ini. Tupperware Brands juga melaksanakan beberapa langkah untuk menyokong komuniti tampatan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar dam menjalani kehidupan yang lestari.

Beliau menambah, "Tupperware Brands komited untuk melaksanakan inisiatif dan program-program yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk memelihara alam sekitar, rakan kongsi global yang lebih baik serta menjadi mentor untuk generasi akan datang." 

“Selain bekerjasama dengan persatuan alam sekitar, seperti WECAM dan UN Water, Tupperware Brand, dengan inisiatif kami sendiri, menganjurkan pelbagai program melibatkan pengguna seperti pertandingan Bling my Eco Bottle dan memperkenal produk terbaru kami seperti Eco-bottle, untuk menyebarkan mesej eko Tupperware Brands kepada pengguna secara lebih kreatif , inovatif dan menyeronokkan.

"Inisiatif seumpama ini adalah sebahagian daripada komitmen Tupperware Brands di dalam memperkasa dan mendidik orang ramai mengenai amalan harian yang mudah untuk dilakukan bagi membantu memelihara alam sekitar”, tambah Ying lagi.

Selain menjadi salah satu daripada rakan kongsi larian ini, kontigen Tupperware Brands seramai 50 pelari, yang terdiri daripada kakitangan dan rakan perniagaannya dari seluruh negara, akan terlibat dalam larian ini.

Dalam pada ini, sempena dengan Hari Air Sedunia, WECAM dan Forum Air Malaysia telah mengadakan petisyen bagi mendesak pihak berkuasa perkhidmatan bekalan air. Petisyen tersebut seperti berikut:

KAMI MAHU BEKALAN AIR BERTERUSAN!

Permintaan kami: 

1) Semua agensi yang terlibat dalam perkhidmatan bekalan air hendaklah bekerjasama dalam pengurusan bekalan air secara yang berkesan . 

2) Langkah-langkah proaktif perlu dilaksanakan oleh pihak yang dipertanggunjawabkan untuk membendung kesan perubahan iklim, termasuk pembenihan awan, kitar semula air, pelaksanaan sistem penuaian air hujan dan lain-lain 

3) Pengurangan air tidak terhasil (NRW).

4) Penstrukturan semula air Selangor perlu disegerakan bagi membolehkan pengurusan sumber air, bekalan dan pengedaran dikawal selia dengan berkesan

Kami yang menurunkan tandatangan di bawah adalah rakyat prihatin yang menuntut pengurusan perkhidmatan bekalan air secara berhemat.

Pautan petisyen:  http://www.change.org/petitions/water-operators-span-raw-water-regulators-state-governments-all-water-supply-services-stakeholders-safeguard-our-right-for-safe-clean-continuous-supply-of-water