Perkhidmatan sistem pembetungan ialah proses untuk pengumpulan, penghantaran, perawatan terhadap air sisa kumbahan dan penyelenggaraan sistem pembetungan dan tangki septik.

Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis iaitu sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam dan sistem tangki septik individu.

Pada masa kini terdapat lebih daripada 6,000 buah sistem rawatan kumbahan jenis bersambung dan 1.3 juta sistem tangki septik individu di Semenanjung Malaysia.

Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah ke loji rawatan kumbahan awam yang terletak di laur kawasan premis.

Premis yang mempunyai sistem pembetungan bersambung ke loji pada lazimnya mempunyai satu “ruang pemeriksaan” yang ditutupi dengan satu penutup logam bersegi empat tepat. Ia biasanya terletak di luar kawasan premis sama ada di hadapan, belakang atau tepi premis.

 

Di dalam ruang pemeriksaan adalah saliran paip daripada tandas, bilik-bilik mandi dan dapur yang disambungkan ke loji olahan kumbahan melalui saliran paip pembetungan awam bawah tanah. Sekiranya saliran paip tersumbat, pemeriksaan dan pengeluaran sekatan dijalankan melalui ruang pemeriksaan ini. 

Indah Water Konsortium (IWK), merupakan syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam. IWK akan bertanggungjawab melakukan kerja-kerja pembaikan jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna.

Walau bagaimanapun pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat jika masalah didapati pada saluran paip pembetungan persendirian. 

Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Tangki septik individu yang sempurna iaitu mengikut Piawaian Malaysia – MS 1228 mempunyai 3 sehingga 4 penutup logam bersegi empat tepat.  Lazimnya ia berada di luar kawasan premis sama ada di bahagian hadapan, belakang atau tepi premis.

Adakalanya, tangki septik tersebut berada di dalam premis yang telah diubah suai. Kumbahan (najis) yang mengalir ke dalam tangki septik tidak menjalani rawatan sepenuhnya. Oleh itu tangki septik tersebut perlu dikosongkan secara berjadual, lebih kurang setiap dua tahun sekali; untuk memastikan ia berfungsi dengan efisien. 

Perkhidmatan-perkhidmatan ini disediakan melalui 18 Pejabat Operasi/Pusat Khidmat Pelanggan IWK di seluruh negara kecuali Johor Bahru, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Pelanggan-pelanggan juga boleh menjelaskan pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan di pejabat/pusat ini.

Sumber: http://www.iwk.com.my/f-services.htm

Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia