Kerajaan telah menubuhkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang dilancarkan dengan rasminya pada 25 Februari 2011.Penubuhan YBGK bertujuan untuk memberikan khidmat guaman berkaitan kes jenayah kepada golongan yang tidak berkemampuan. Ini memastikan golongan ini mendapat keadilan sewajarnya dalam perbicaraan di mahkamah.

Kelayakan untuk mendapatkan mendapatkan khidmat YBGK adalah golongan yang berpendapatan tidak lebih daripada RM25,000 tahun, atau berpendapatan melebihi RM25,000 setahun, tetapi tidak lebih RM36,000 setahun, dengan dikenakan bayaran tertentu. Walau bagaimanapun, khidmat guaman ini hanya diberikan kepada kes jenayah yang tidak membawa kepada hukuman mati.

Penubuhan YBGK amat dialu-alukan kerana ia merupakan satu lagi saluran bagi rakyat untuk mendapatkan khidmat guaman, khususnya golongan yang tidak berkemampuan. Pada masa ini golongan yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan bantuan khidmat guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman, yang disediakan oleh kerajaan, dan Pusat Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh Majlis Peguam Malaysia.

Jabatan Bantuan Guaman memberikan bantuan dan khidmat guaman kepada golongan yang berpendapatan tidak melebihi RM25,000 setahun, atau berpendapatan melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM30.000 setahun (dikenakan bayaran sumbangan sebanyak RM300). 

Pusat Bantuan Guaman menawarkan khidmat bantuan guaman secara percuma bagi golongan yang tidak berkemampuan. Pusat Bantuan Guaman mengenakan syarat yang ketat bagi mendapatkan khidmat mereka, antaranya:

  1. Tidak mempunyai pendapatan boleh guna melebihi RM500 (bujang)
  2. Tidak mempunyai pendapatan boleh guna melebihi RM800 (berkahwin)
  3. Tidak mempunyai wang tunai atau simpanan yang berjumlah lebih daripada RM5,000
  4. Tidak mempunyai rumah sendiri, yang bernilai melebihi RM25,000 (tidak termasuk rumah rendah dan rumah setinggan).
  5. Tidak mempunyai kereta sendiri bernilai melebihi RM7,000.
  6. Tidak mempunyai motosikal sendiri yang bernilai melebihi RM4,500

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, ketika melancarkan YBGK memaklumkan bahawa terdapat 80 peratus Orang Kena Tuduh (OKT) yang tidak diwakili oleh peguam kerana tidak berkemampuan. Persoalannya, adakah 80 peratus OKT itu tidak diwakili peguam kerana mereka tidak berkelayakan untuk mendapatkan khidmat guaman Jabatan Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman? Atau adakah kerana mereka tidak mengetahui kewujudan kedua-dua badan tersebut?

Baru-baru ini, Majlis Peguam membuat kenyataan bahawa yuran guaman akan dinaikkan sehingga 400 peratus, iaitu daripada RM2,000 kepada sehingga RM10,000 disebabkan oleh banyak sistem baru yang diperkenalkan oleh mahkamah di samping tempoh perbicaraan yang semakin dipendekkan.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana seolah-olah menunjukkan bahawa tidak jaminan untuk rakyat mendapatkan keadilan di mahkamah jika mereka tidak mendapat khidmat guaman bagi mewakili mereka. Kos guaman yang kian meningkat sudah pasti akan menyebabkan ramai yang mampu untuk mendapatkan khidmat peguam.

Dalam pada itu, peranan YBGK juga perlu diperluaskan. Ini kerana jika dilihat daripada segi kelayakan untuk mendapatkan khidmat YBGK adalah sama dengan Jabatan Bantuan Guaman. Oleh itu golongan yang berkelayakan boleh terus mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman. YBGK perlu memberikan pertimbangan untuk membantu golongan yang berpendapatan melebihi daripada syarat kelayakan, tetapi mempunyai tanggungan yang besar, atau mempunyai sebab-sebab yang munasabah. 

Sebagai perancangan jangka panjang, YBGK juga berfungsi untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang hak-hak mereka dalam bidang perundangan. Masih ramai rakyat yang tidak mengetahui hak-hak mereka dalam bidang perundangan sehingga mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Mungkin inilah salah satu sebab mengapa terdapat 80 peratus OKT yang tidak diwakili peguam dalam perbicaraan mahkamah.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)