Majlis Peguam baru-baru membuat kenyataan bahawa yuran guaman akan dinaikkan sehingga 400 peratus. Ini berikutan daripada banyak sistem baru yang diperkenalkan oleh mahkamah, termasuk memendekkan tempoh perbicaraan sesuatu kes.

Kenaikan ini sekiranya menjadi realiti sudah tentu akan memberikan kesan kepada para pengguna. Banyak perkhidmatan yang dijalankan di negara ini melibatkan urusan peguam, seperti menyediakan surat perjanjian jual beli, urusan tukar milik tanah,.termasuk mengendalikan kes di mahkamah.

Langkah kerajaan memendekkan tempoh perbicaraan amat dialu-alukan. Ini kerana sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Banyak masa dan wang dibelanjakan untuk menghadiri sesi perbicaraan. Seringkali perbicaraan ditangguhkan apabila peguam tidak hadir kerana menghadiri kes perbicaraan yang lain.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), pengguna sering tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberikan oleh peguam. Ini terutamanya melibatkan kes perumahan. Antaranya kes tersebut ialah, peguam yang gagal menasihatkan pengguna apabila berlakunya masalah rumah terbengkalai, pihak peguam lewat menyerahkan bayaran kemajuan perumahan walaupun pihak bank dan Bahagian Pinjaman Perumahan telah menyalurkan wang lebih awal kepada pejabat peguam. 

Kenaikan yuran guaman yang tinggi akan menyebabkan ramai pengguna yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guam untuk mengendalikan kes mereka di mahkamah. Ini menyebabkan ada pengguna yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya semasa perbicaraan.

Dalam hal ini Biro Bantuan Guaman perlu mengkaji semula syarat pengguna yang layak untuk mendapatkan khidmat mereka. Ini temasuk membolehkan golongan berpendapatan sederhana yang mempunyai tanggungan yang tinggi untuk mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman. Begitu juga dengan Pusat Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh Majlis Peguam. Mereka perlu menyediakan khidmat guaman kepada pengguna yang amat memerlukan khidmat guaman.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)