Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan skim yang menyediakan faedah persaraan untuk semua ahlinya melalui pengurusan simpanan yang cekap dan boleh dipercayai. Skim simpanan ini dilaksanakan ke atas setiap pekerja melalui sumbangan daripada pekerja dan majikan.

KWSP juga menyediakan sistem yang memudahkan majikan melaksanakan tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka kepada pekerja mereka. Pekerja dan majikan di sektor kerajaan dan swasta diwajibkan mencarum secara bulanan kepada KWSP (kecuali kakitangan kerajaan yang berpencen).

Caruman
Orang yang diwajibkan mencarum adalah seperti berikut :

  1. Pekerja yang dibayar gaji/upah.
  2. Pengarah yang dibayar gaji/upah.
  3. Pekerja sambilan, sementara, sampingan dan pekerja dalam tempoh percubaan, jika ia dibayar gaji/upah.
  4. Pekerja adalah wajib mencarum hingga umur 75 tahun sekiranya masih bekerja sama ada sudah atau belum membuat pengeluaran penuh/sebahagian selepas mencapai umur 55 tahun.
  5. Pekerja yang mencapai umur 55 tahun dan ke atas dan belum menjadi ahli KWSP.
  6. Pekerja yang sudah mengeluarkan simpanan dibawah Skim Pengeluaran Hilang Keupayaan, tapi sudah pulih dan bekerja semula.
  7. Bulan Gaji ialah bulan seseorang yang bekerja menerima upah. Bulan Caruman ialah bulan selepas bulan gaji.Contohnya: Seseorang yang bekerja pada bulan Ogos 2005 dan gaji dibayar pada bulan Ogos 2010 maka bulan tersebut adalah bulan gaji. Bulan caruman pula adalah bulan September 2010.

Faedah Untuk Ahli 
Sebagai ahli KWSP, anda berpeluang untuk mendapat manafaat yang lebih baik daripada sekadar simpanan yang terjamin yang akan diperolehi pada hari persaraan anda. 

Dividen
Caruman KWSP anda akan terkumpul dan ditambah dengan dividen pada setiap tahun. Ini akan menjadikan simpanan anda meningkat dari tahun ke tahun sehingga persaraan anda dan pengeluaran keseluruhan simpanan anda.

Kadar Dividen
Untuk menentukan kadar dividen, faktor yang diambil kira ialah pendapatan bersih dan jumlah untuk 1% dividen pada akhir tahun. Berikut adalah contoh bagaimana kadar dividen ditentukan: 

Kadar Dividen = Pendapatan bersih (a) x 1% Jumlah bagi 1% dividen (b)

  1. Pendapatan pelaburan + Pendapatan bukan pelaburan -Perbelanjaan
  2. Jumlah bagi 1% dividen adalah berdasarkan :

• baki pembukaan caruman (selepas pengeluaran) yang mendapat dividen untuk tempoh 12 bulan, dan

• caruman bulanan yang mendapat dividen secara pro rata iaitu caruman bulan ke-n akan mendapat (12-n) bulan dividen. Sebagai contoh, caruman 
bulan September (n=9) mendapat 3 bulan dividen.

Pengiraan kadar dividen KWSP adalah berdasarkan kepada pembahagian penuh pendapatan bersih KWSP. Ini bermakna prestasi kadar dividen ditentukan oleh pulangan pelaburan. Pulangan pelaburan pula ditentukan oleh peruntukan aset. KWSP melabur lebih 75% daripada dana pelaburannya ke dalam instrumen yang berkait rapat dengan arah aliran kadar faedah pasaran. Instrumen-instrumen tersebut adalah Sekuriti Kerajaan Malaysia, pinjaman/bon dan instrumen pasaran wang. Memandangkan kadar faedah pasaran berada pada paras yang rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar pulangan bagi pelaburan yang dilakukan oleh KWSP juga turut terjejas.

Insentif Cukai
Caruman KWSP akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM6,000 (termasuk premium insurans nyawa). Selain daripada itu, pengeluaran simpanan KWSP di bawah pelbagai skim pengeluaran juga terkecuali daripada dikenakan cukai pendapatan.

Faedah Persaraan

Simpanan KWSP adalah simpanan untuk persaraan anda. Apabila anda mencarum 11 peratus daripada pendapatan bulanan anda dengan KWSP, majikan anda akan mencarum (sekurang-kurangnya)12 peratus lagi ke dalam simpanan KWSP anda. Jika anda tidak mencarum, anda tidak akan mendapat faedah persaraan tambahan yang disediakan oleh majikan anda itu.

Faedah Kematian Dan Hilang Upaya
Sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan ahli-ahlinya setelah mereka bersara, KWSP turut memberi pampasan sekiranya ahli-ahlinya ditimpa bencana. Dalam hal ini, KWSP menyediakan Faedah Hilang Keupayaan kepada ahli dan Faedah Kematian kepada waris ahli.

Faedah-Faedah Tambahan

Faedah-faedah ini merupakan bayaran tambahan untuk Skim Pengeluaran Hilang Keupayaan dan Skim Pengeluaran Kematian sebagai tanda simpati. Bayaran tersebut dibuat daripada pendapatan KWSP sendiri, dan bukan daripada sebahagian simpanan ahli:
•    Faedah Hilang Keupayaan
Sejumlah RM5,000 akan dibayar kepada anda sekiranya anda layak mengeluarkan kesemua simpanan anda atas sebab hilang keupayaan. Bayaran tersebut akan dibuat kepada anda selepas anda menerima bayaran pengeluaran simpanan anda.

•    Faedah Kematian
Faedah ini yang berjumlah sehingga RM2,500 akan dibayar kepada tanggungan anda apabila anda meninggal dunia. Bantuan tersebut akan dibayar kepada tanggungan anda mengikut budi bicara KWSP.

Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)