Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk Marimuthu Nadason telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) bagi sesi 2011-2012. Perlantikan ini yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis Penasihat Pengguna Negara merupakan badan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang berperanan sebagai penasihat kepda Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam isu-isu berkaitan kepenggunaan. 

Perlantikan ini merupakan satu catatan sejarah kepada pergerakan pengguna di Malaysia, apabila kali pertama wakil persatuan pengguna dilantik sebagai pengerusi semenjak MPPN ditubuhkan.

Datuk Marimuthu Nadason dilantik sebagai Presiden FOMCA semenjak 2004. Beliau, yang telah terlibat dalam pergerakan selama hampir 30 tahun, juga merupakan Presiden Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia dan Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia. 

Selain itu, beliau juga Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Ahli Lembaga Penasihat; Biro Pengaduan Awam; Ahli Lembaga Pengarah, Biro Pengantaraan Kewangan; Ahli Majlis Standard dan Akreditasi Kebangsaan dan sebagainya.

Di peringkat antarabangsa pula, antara jawatan beliau ialah Ahli Majlis Consumers International; Pengerusi Bersama Asian Network for Consumer Participation in Standardisation (ANCO), Ahli Tabung Amanah, Kumpulan Kerja ISO bagi Tanggungjawab Sosial dan Ketua Delegasi Malaysia bagi Jawatankuasa Polisi Pengguna ISO. 

Datuk Marimuthu telah terlibat dalam banyak aktiviti berkaitan kepenggunaan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Beliau telah menghadiri mesyuarat dan membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa di hampir 60 buah negara.

Semenjak beliau memegang jawatan sebagai presiden di FOMCA, beliau telah mewujudkan beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan kesedaran dan perlindungan pengguna.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2004, telah menjadi pusat aduan setempat yang banyak membantu pengguna menyelesaikan masalah kepenggunaan. NCCC telah menerima aduan lebih daripada 30,000 aduan pada tahun 2010. Hampir 70 peratus aduan tersebut telah berjaya diselesaikan, termasuk sebahagiannya disalurkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Begitu juga dengan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna, yang kini memiliki lebih daripada 15 ribu buku berkaitan kepenggunaan. 

FOMCA juga di bawah kepimpinan beliau telah menerbitkan banyak buku kepenggunaan bagi memastikan para pengguna di Malaysia mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan bermaklumat.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)