SUBANG JAYA, 20 APRIL 2010 – Buku "Consumer Power", tulisan Profesor Datuk Dr Anwar Fazal, bekas Presiden Pertubuhan Antarabangsa Kesatuan Pengguna (kini dikenali sebagai Consumers International - CI) telah dilancarkan dalam satu majlis yang sederhana tetapi meriah, di sebuah hotel di sini pada hari ini.

Majlis pelancaran buku ini yang turut dihadiri oleh Samuel Ochieng, Presiden Consumers International, Datuk N. Marimuthu, Presiden FOMCA, Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua Pejabat CI Kuala Lumpur dan perwakilan daripada ahli gabungan CI di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah.


Buku Consumer Power ini pada asalnya merupakan teks ucapan Datuk Dr. Anwar ketika berucap meraikan ulang tahun ke-50 Consumer Union, Amerika Syarikat.

Yang menariknya ialah. teks ucapan yang dijadikan sebagai buku ini adalah dalam bentuk bait puisi yang mengaluri tentang perkembangan pergerakan pengguna di peringkat antarabangsa.

Buku ini mengimbas kembali perjuangan warga dunia, yang terlibat dalam pergerakan pengguna, dalam pelbagai isu, antaranya melindungi penyusuan susu ibu, menghentikan penggunaan racun makhluk perosak dan bahan kimia toksik yang berbahaya, serta memerangi penjualan ubat-ubatan yang berbahaya dan tidak diperlukan oleh pengguna. Hasil perjuangan inilah yang telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan kod dan garis panduan berkaitan perlindungan pengguna.

Buku ini juga menyelusuri perkembangan hak pengguna daripada isu berkaitan hak untuk membuat pilihan dan maklumat, kepada hak untuk mendapatkan keperluan asas dan alam sekitar yang selamat, apabila pergerakan pengguna mulai berkembang hampir ke seluruh benua, meliputi negara-negara yang mempunyai kedudukan pembangunan yang berbeza. Di samping itu, buku ini turut menekankan tentang aspek tanggungjawab pengguna, selain daripada hak-hak pengguna.

Datuk Anwar yang menjawat presiden antara tahun 1978 hingga 1984, merupakan presiden pertama pergerakan pengguna dunia itu dari negara dunia ketiga dan juga tokoh termuda yang menjawat jawatan itu.

Beliau merupakan aktivis pengguna global yang paling berpengaruh, setanding dengan Ralph Nader, tokoh kepentingan masyarakat di Amerika Syarikat. Datuk Anwar telah menerima pelbagai anugerah hasil usaha gigih beliau, antaranya Right Livelihood Award, yang dikenali sebagai “Hadiah Nobel Alternatif”, disenaraikan dalam Tokoh Ternama United Nations Environment Programme “Global 500”, dipilih sebagai Hall of Fame Mother Earth News dan ”Activist of the Year” oleh Multinational Monitor, sebuah jurnal yang ditubuhkan oleh Ralph Nader.

Beliau juga merupakan tokoh pertama yang menerima Anugerah Tokoh Pengguna Malaysia ketika sambutan Hari Pengguna Malaysia yang pertama kali diadakan, iaitu pada tahun 2001.

Pada masa ini Datuk Anwar adalah Profesor di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, iaitu beliau mengetuai Kolej ”The Right Livelihood”. Untuk mengetahui dengan mendalam tentang Datuk Anwar, layari www.anwarfazal.net.

Mohd Yusof Abdul Rahman
21 April 2010