PETALING JAYA, 15 APRIL 2010 -  Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen MINGGU TIDAK MENONTON TV pada hari ini. Kempen ini akan diadakan pada 21 hingga 27 April di seluruh negara. 

MENGAPA PERLU DIADAKAN MINGGU TIDAK MENONTON TV? Masa menonton televisyen dan peralatan berskrin (internet, permainan video dan telefon bimbit) telah banyak mengorbankan masa bersama keluarga di samping menyebabkan masalah suka menyendiri dan gaya hidup tidak banyak melakukan pergerakan fizikal.


Kajian yang dilakukan di Malaysia menunjukkan bahawa kanak-kanak menghabiskan masa antara 3 hingga 5 jam sehari secara purata menonton/menggunakan peralatan berskrin (termasuk televisyen, computer dan telefon bimbit). Manakala di Amerika Syarikat pula, masa menonton televisyen sahaja adalah 4.57 jam sehari. 

Dalam kajian lain, kanak-kanak dan golongan remaja, apabila ditanya tentang aktiviti kegemaran untuk menghabiskan masa lapang, jawapan yang diberikan adalah:

 

  1. melayari internet
  2. Menonton televisyen
  3. bermain permainan video
  4. blogging

Kanak-kanak dan remaja pada hari ini banyak menghabiskan masanya di hadapan skrin. Ini membawa kepada gaya hidup tidak banyak melakukan aktiviti berbentuk fizikal. 

Kesan negatif rentetan daripada gaya hidup tersebut adalah masalah obesiti, hipertensi dan diabetes (kencing manis)

Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2004, yang melibatkan 5,000 orang pelajar berumur 12 hingga 18 tahun, mendedahkan bahawa 20.3 peratus daripada pelajar lelaki mempunyai masalah berat berlebihan, manakala bagi pelajar perempuan pula adalah 17.7%.

Bagi pelajar sekolah rendah pula, kanak-kanak yang menghadapi masalah berat berlebihan dan obesiti adalah sebanyak 10.5% dan 6% pada tahun 2005,  meningkat kepada 15.6% dan 8.4% masing-masing pada tahun 2008.

Pada keseluruhannya, masalah obesiti dan berat berlebihan, hipertensi serta diabetes telah meningkat bagi semua rakyat Malaysia (tidak hanya kepada kanak-kanak sahaja). 

MINGGU TIDAK MENONTON TV

Sepanjang MINGGU TIDAK MENONTON TV, kami berharap ibu bapa dapat mengurangkan tempoh menonton televisyen antara 0 hingga  2 jam sehari.

Apa yang lebih penting ialah merancang bersama-sama dengan anak-anak mereka untuk melakukan aktiviti pilihan bagi menggantikan masa menonton televisyen – iaitu aktiviti yang boleh dilakukan oleh anak-anak mereka sendiri (bermain dengan haiwan peliharaan, mewarnakan lukisan atau mencantumkan gambar), atau aktiviti berkeluarga seperti melawat muzium atau zoo, bermain kad atau permainan dalam rumah yang lain, menyusun gambar keluarga dalam album dan sebagainya.

Kami juga meminta agar semua pihak dapat mengurangkan tempoh menggunakan peralatan berskrin, sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti yang aktif, sama ada bersendirian, bersama-sama rakan-rakan atau keluarga. 

Pada tahun 2010. beberapa aktiviti diadakan semasa kempen MINGGU TIDAK MENONTON TV, iaitu:  

Risalah MINGGU TIDAK MENONTON TV diedarkan di seluruh Lembah Klang dan bandar-bandar utama. 
5 buah tadika mengambil bahagian dalam kempen ini:

  1. Kinderland Playhouse – Petaling Jaya, Selangor
  2. Tabika KEMAS Bangunan Khas Kati Padang Rengas, Kuala Kangsar – Perak
  3. Tabika KEMAS Kem Batu Kentonment 1 & 2, Kuala Lumpur
  4. Tabika KEMAS Bangunan Sikamat 2, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan
  5. Tabika KEMAS Kg. Melayu, Rawang, Selangor

Pada 27 April, setiap tadika yang terlibat akan diadakan sesi kanak-kanak berkongsi pengalaman tentang aktiviti yang mereka lakukan (apabila tidak menonton televisyen) sepanjang kempen ini diadakan.  

Kami juga meminta semua ibu bapa turut serta dalam majlis ini. 

Kami juga ingin memperlawa semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ini. 

TUTUP TV DAN HIDUPKAN KEKELUARGAAN!!!!!!


MARI KITA AMALKAN GAYA HIDUP YANG LEBIH AKTIF DAN SIHAT UNTUK KEBAIKAN DIRI KITA DAN ANAK-ANAK KITA. 
Kempen MINGGU TIDAK MENONTON TV merupakan sebahagian daripada Kempen Konsumer Kebangsaan, yang bertemakan “Perubahan Bermula Dengan Saya.”