PETALING JAYA, 20 MAC – Dalam buku teks ekonomi, pengguna dianggap sebagai raja. Mereka boleh membuat sebarang keputusan untuk membeli barang atau menggunakan perkhidmatan tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun.

Demikian menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

 


Dalam era teknologi maklumat pada masa ini, segala maklumat boleh diperoleh dengan mudah. Oleh itu tidak ada sebab mengapa seseorang boleh mudah terpedaya apabila membeli barang atau menggunakan perkhidmatan,

Prof. Ariff berkata demikian ketika melancarkan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) dan jurnal CRRC Consumer Review pada hari ini di sebuah hotel di sini. Turut hadir, Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC dan Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif CRRC.

Namun begitu, jika pengguna mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pasaran, mengapa perlunya perlindungan pengguna? Persoalan ini dilontarkan oleh Prof. Ariff.

Ini berlaku, jelas Prof Ariff, disebabkan oleh sikap pengeluar, pemborong dan peniaga sering yang mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna sendiri menggunakan kuasa yang ada pada mereka.

Kerajaan pula yang sepatutnya melindungi kepentingan pengguna, turut mengambil kesempatan ke atas pengguna, tambah Prof. Ariff.

Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan, yang antara lain untuk meningkatkan daya beli pengguna. Begitu juga kerajaan sering menggunakan institusi milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk tujuan ini.

Umpamanya ketika negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi dahulu, kerajaan telah mengurangkan caruman KWSP bagi membolehkan pengguna mempunyai wang yang lebih untuk dibelanjakan. Sedangkan lebihan wang tersebut sewajarnya digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat, seperti menabung, melabur dalam amanah saham dan sebagainya.

Perbelanjaan secara berlebih-lebihan ini digalakkan oleh kerajaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Akibatnya pengguna yang tidak bijak berbelanja, akan berhadapan dengan masalah kewangan.

Pergerakan pengguna seperti FOMCA, menurut Prof. Ariff, perlu memainkan peranan bagi membanteras amalan berbelanja secara berlebih-lebihan ini.

Beliau mengambil contoh beberapa negara maju, seperti Amerika Syarikat, yang rakyatnya sebenarnya hidup dalam kredit. Namun begitu, di negara tersebut wujud beberapa agensi yang membantu rakyat mereka yang menghadapi masalah kewangan, seperti kupon makanan untuk golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya, warga tua, pengganggur dan sebagainya.

Keadaan seperti ini tidak berlaku di Malaysia. Rakyat yang menghadapi masalah kewangan dibiarkan begitu sahaja sehingga mereka diisytiharkan muflis.

Bagi Prof. Ariff, apa yang disebut dalam buku ekonomi bahawa pengguna adalah raja kurang tepat. Pengguna adalah raja sekiranya mereka berada dalam kumpulan, bukannya secara individu. Justeru, pergerakan pengguna seperti FOMCA berperanan penting bagi menjadikan pengguna sebagai raja.

Dalam hal ini, menurut Prof Ariff, persaingan turut berfungsi membantu pengguna dalam pasaran. Lebih banyak persaingan dalam sektor perniagaan, maka pengguna akan mendapat kualiti barang dan perkhidmatan yang lebih baik. Malah bagi beliau sendiri, persaingan adalah ibu kepada inovasi. Akibat daripada persaingan yang hebat ini, pengeluar dan penyedia perkhidmatan akan berusaha untuk melakukan penyelidikan bagi menghasilkan barang yang baru dan meningkatkan barang yang sedia ada agar lebih berkualiti.

Malangnya di Malaysia, masih belum wujud Akta Persaingan yang menyekat kegiatan perniagaan yang bersifat monopoli. Negara lebih rendah kedudukan ekonominya daripada Malaysia, seperti Vietnam dan Kemboja telah mempunyai Akta Persaingan.

Mengulas tentang isu subsidi, beliau berkata, subsidi sepatutnya dimansuhkan bagi barang berasaskan pemintaan (demand based products). Harga barang tersebut ditentukan oleh pasaran yang mempunyai persaingan yang sihat. Namun bagi barang berasaskan keperluan (need based products), maka subsidi perlu dikekalkan, malah hendaklah ditambah, seperti sektor penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan sebagainya.

Beliau turut menyentuh tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST). Menurut beliau, GST adalah cukai berasaskan penggunaan. Lebih banyak barang dibeli, maka lebih banyak cukai yang perlu dibayar. Dalam hal ini, golongan berpendapatan tinggilah yang banyak membayar cukai kerana mereka membeli lebih banyak barang, khususnya barang mewah. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula, terdapat beberapa barang yang dikecualikan GST, bagi memastikan harga barang tersebut pada kadar yang berpatutan.

Tentang penubuhan CRRC pula, Prof. Ariff yang menjadi pernah Pengarah Eksekutif MIER sehingga tahun 2009, memuji usaha FOMCA menubuhkan pusat penyelidikan sendiri.

Menurut beliau, peranan pusat penyelidikan bukannya untuk mempengaruhi agensi kerajaan dalam menggubal dasar, tetapi membantu mereka membuat sesuatu dasar yang bijak!

Mohd Yusof Abdul Rahman