PETALING JAYA, 20 Mac - Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) bakal menjadi pusat penyelidikan kepenggunaan yang unggul di negara ini.

Demikian harapan Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) ketika menyampaikan ucapan beliau ketika majlis pelancaran CRRC di sebuah hotel di sini hari ini.

 


Mengulas tentang penubuhan CRRC, Datuk Marimuthu yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC, berkata, isu kepenggunaan yang semakin kompleks pada hari ini menyebabkan perlunya wujud sebuah pusat penyelidikan yang khusus untuk mengalisis isu-isu kepengggunaan secara lebih mendalam. Hasil daripada analisis dan kajian tersebut boleh digunakan oleh pihak-pihak berkenaan, terutamanya para penggubal dasar.

Dalam ucapan beliau, Datuk Marimuthu menyentuh tentang wujudnya beberapa kuasa yang mempengaruhi isu pengguna, iaitu globalisasi, kenaikan harga makanan dan tenaga, kekurangan bekalan air dan isu pemanasan global.

Selain itu, ujar beliau lagi, isu berkaitan teknologi maklumat juga merupakan kuasa yang mempengaruhi pengguna, bukan sahaja generasi pada hari ini, tetapi juga generasi akan datang. Menerusi internet dan media sosial yang baru, syarikat boleh terus mendekati kanak-kanak dan remaja, melepasi peranan ibu bapa sebagai pengawal mereka. Di Malaysia, laman web yang paling popular dilayari oleh kanak-kanak ialah laman web rangkaian makanan segera.

Datuk Marimuthu turut menjelaskan bahawa peranan kerajaan semakin terhad dalam menjaga kepentingan pengguna disebabkan oleh kuasa global ini. Kerajaan hanya mampu meningkatkan peraturan yang berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pengguna melalui undang-undang, dasar, penguatkuasaan dan program pendidikan kepenggunaan tertentu, namun pengaruh globalisasi dan teknologi yang wujud pada masa ini menyebabkan kuasa mereka semakin berkurangan.

Justeru, bagi memastikan kewujudan pergerakan pengguna masih relevan, maka lebih banyak strategi dan pendekatan jangka panjang perlu dimainkan oleh pergerakan pengguna dalam memdepani isu-isu kepenggunaan. Penubuhan CRRC merupakan strategi dan pendekatan jangka panjang dalam melindungi kepentingan dan kesejahteraan pengguna, tambah Datuk Marimuthu lagi.

CRRC telah ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2008, apabila pendaftarannya sebagai syarikat berhad menurut jaminan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

CRRC menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan isu-isu perlindungan pengguna seperti harga makanan dan jaminan makanan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, jenayah di kawasan perumahan dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, CRRC memantau harga bagi 32 barang makanan. Begitu juga CRRC telah menjalankan penyelidikan tentang perbelanjaan isu rumah, corak penggunaan golongan kanak-kanak dan remaja, pemasaran makanan ringan dan alat permainan kepada kanak-kanak. CRRC turut telah menganjurkan perbincangan meja bulat bagi harga makanan dan jaminan makanan.

CRRC masih menjalankan kajian tentang beberapa isu penting yang memberikan kesan kepada para pengguna di kawasan bandar dan luar bandar. Demikian juga CRRC turut terlibat dalam kajian pembaharuan undang-undang pengguna yang ada masa ini, untuk tujuan semakan semula bagi meningkatkan peraturan berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pengguna.

Pada masa akan datang, CRRC akan menjalankan kajian tentang pengangkutan awal, penjagaan kesihatan, kesan pemansuhan subsidi kepada pengguna, kesan penggunaan internet kepada kanak-kanak dan remaja serta pendidikan celek kewangan untuk kanak-kanak dan remaja. Beberapa program ini dijalankan dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Dato’ Paul Selva Raj
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)

{morfeo 2}