Persatuan Pengguna-Pengguna Standard (Standards Users) telah menganjurkan bengkel Asian Network for Consumer (ANCO) Participation in Standardization yang keempat pada 1 hingga 2 Mac 2010 di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur. Tema bengkel tersebut adalah “Improving Product Safety Through Consumer Participation in Standarization”.

 

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard merupakan urus setia bagi bengkel ANCO, manakala Datuk Marimuthu Nadason pula merupakan pengerusi ANCO. Dalam ucapan alu-aluannya, Datuk Marimuthu telah menjelaskan tentang latar belakang penubuhan ANCO yang bermula melalui jaringan yang separuh rasmi sehingga ditubuhkan secara rasmi semasa perjumpaan ISO COPOLCO ke-28 yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Beliau juga telah menjelaskan bahawa, walaupun berlaku penarikan diri oleh Japanese Standards Association, namun Standards Users meneruskan kerja- kerja ANCO bagi memastikan jaringan ANCO ini berterusan dengan memberikan sokongan kewangan untuk peserta-peserta dari dari luar negara untuk menghadiri bengkel tersebut.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Encik Ridzwan Kasim, Pengarah Bahagian Standard dari Jabatan Standard Malaysia yang mewakili Puan Fadilah Baharin, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia. Dalam ucapan tersebut, Encik Ridzwan telah menjelaskan bahawa STANDARDS MALAYSIA sentiasa memberikan sokongan dan menggalakkan perwakilan yang seimbang antara semua pihak berkepentingan dalam jawatankuasa pembangunan standard dan ANCO merupakan satu contoh yang bermakna dalam membantu pihak-pihak berkepentingan pengguna.

Seramai 20 orang peserta dari 6 buah negara telah menyertai bengkel ini. Negara-negara tersebut adalah Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Sri Lanka. Peserta-peserta dari negara selain Malaysia merupakan wakil dari badan standardisasi negara dan wakil pengguna (yang dicalonkan oleh badan standardisasi setiap negara).

Peserta-peserta dari Malaysia merupakan wakil dari agensi kerajaan yang berkaitan dengan pengguna i.e Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Pertanian, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Standard Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Bahagian Kejuruteraan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan SIRIM Berhad.

Para peserta telah mengenal pasti kesulitan yang dialami dalam rantai pembekalan global dan risiko yang terbabit. Mereka juga telah menghargai kepentingan input pengguna untuk membaiki standard keselamatan produk demi perlindungan pengguna yang lebih baik.

Salah satu dari aktiviti tersebut adalah mengenal pasti cabaran dan faktor kejayaan dalam standard keselamatan barangan pengguna dan mengenal pasti cabaran yang perlu diberi perhatian.

Dalam bengkel keempat ini, para peserta telah bersetuju bahawa isu penglibatan dan kesedaran pengguna merupakan bahagian-bahagian yang membolehkan ANCO membuat satu keputusan atau output yang berkesan dalam jangka masa pendek. Satu cadangan umum yang dikemukakan dalam bengkel tersebut ialah peranan kerajaan dalam menjadikan standard keselamatan lebih efektif. Langkah ini juga perlu diperkuatkan dengan pemantauan yang lebih efektif, pendidikan pengguna dan kuasa dalam meningkatkan keselamatan barangan kegunaan pengguna.

Para peserta juga telah diberikan penerangan lebih lanjut mengenai bantuan dan sumber yang boleh didapati daripada ISO COPOLCO .Mereka mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja ISO dan fungsinya dalam kerja-kerja kumpulan di bawah ISO COPOLCO. Pautan kepada ANCO dan ISO COPOLCO boleh diperolehi di laman web Standards Users.

Peserta-peserta ANCO telah bersetuju untuk memberikan penekanan terhadap kriteria keselamatan/keperluan dalam aktiviti pembangunan standard di negara atau di agensi masing-masing. Peranan ANCO dalam memberikan sokongan kepada penglibatan wakil pengguna telah disambut dengan baik dan peserta- peserta juga sedang menanti laporan untuk tindakan seterusnya di negara mereka.

Laporan yang lengkap akan disediakan pada 5 April 2010 dan akan dimuatkan dalam laman web http://www.standardsusers.org/ sebelum 20 April 2010.

Standards User juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghadiri bengkel dan menyumbangkan masa, idea, kreativiti, dan kepakaran untuk menjayakan bengkel ini.

Ratna Devi Nadarajan
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

12 Mac 2010