Tahun Baru Cina yang kian hampir ini telah menyebabkan pusat membeli belah dibanjiri oleh orang ramai untuk membuat persiapan untuk perayaan tersebut. Bagi mereka yang tidak menyambut perayaan tersebut, mereka turut membeli belah disebabkan oleh jualan murah yang diadakan di serata tempat.

Tetapi, adakah anda terfikir bahawa jualan murah ini ialah jualan murah yang “sebenar” atau ia hanyalah sejenis helah yang digunakan oleh peniaga?
Kenapa saya guna perkataan “helah”? Saya hendak berkongsi pengalaman saya ketika membeli belah saya. Pada hujung minggu lepas, saya telah mengunjungi salah satu pusat membeli belah di Subang untuk persiapan Tahun Baru Cina. Perkataan “Sale” atau “Jualan Murah” yang besar dengan warna yang menarik terdapat di serata tempat di pusat membeli belah tersebut. Persoalannya, adakah kita mendapat potongan sebagaimana yang dijanjikan?

Di sesetengah kedai, ia dihias dengan papan tanda besar yang tertulis “Semua barangan yang kedua mendapat 50% diskaun”. Strategi ini nampaknya berjaya kerana kedai tersebut dipenuhi dengan orang ramai.

Saya mendapati bahawa sehelai skirt dijual pada harga RM99, harga asalnya ialah RM89. Tanda harga RM99 tersebut terlekat di atas tanda harga asal RM89 tersebut. Oleh itu, kita akan mendapat diskaun sebanyak 50% daripada harga barunya RM99 tetapi bukan RM89.  

Dalam kejadian yang lain, di sebuah kedai pakaian yang berjenama terkenal. tanda harga pada sehelai baju telah diubah dengan menggunakan pemadam cecair dan pen. Ketika saya memadam pemadam cecair tersebut, saya mendapati harga asal baju tersebut ialah RM79 dan bukannya RM89 yang ditulis dengan pen. Lebih teruk lagi, baju tersebut bukannya baju yang diberikan diskaun.

Di kedai yang sama, tanda harga pada beg kain juga telah ditukar dengan pemadam cecair dan pen. Ia bukan sahaja menukar pada satu atau dua tanda harga, tetapi semua jenis beg kain yang sama. Mungkin peniaga boleh memberi alasan mereka telah tukar harga mereka atau salah kod harga tersebut, tetapi perbuatan sedemikian adalah tidak wajar. Apatah lagi peniaga telah menaikkan harga sebelum diskaun.

Sebuah lagi kedai menjual sehelai skirt yang mempunyai pelekat yang bertulis 10% diskaun pada tanda harganya. Tetapi, semasa membuat bayaran, juruwang tersebut memberitahu tempoh promosi mereka telah tamat dan dia tidak dapat memproseskan diskaun tersebut. Apabila saya bertanya bahawa saya sepatutnya mendapat harga yang dipaparkan, juruwang tersebut ,menjawab bahawa dia tahu hal tersebut tetapi tidak dapat membantu.

Adakah pengguna tidak dapat dilindungi daripada taktik peniaga yang tidak jujur ini? Sebenarnya kita dilindungi di bawah undang-undang yang mengatakan bahawa mana-mana barang yang dijual dengan unsur-unsur palsu, atau maklumat yang mengelirukan adalah salah di sisi undang-undang. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan yang lemah telah mengizinkan peniaga untuk melepaskan diri daripada kesalahan ini tanpa mempunyai sebarang rasa takut. Perkara ini menjadi lebih teruk pada musim perayaan.

Pihak berwajib telah meluluskan promosi jualan langsung untuk kedai-kedai tersebut, tetapi tidak membuat pemantauan ke atas kedai yang membuat promosi. “Naikkan harga kemudian diberi diskaun” dan harga yang dijual tidak sama dengan harga yang ditampilkan telah diamalkan oleh peniaga untuk bertahun-tahun, tetapi isu ini masih tidak mendapat keutamaan daripada pihak berkuasa. Jumlah aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC) telah meningkat daripada 1,410 kes pada tahun 2007 kepada 1,673 kes pada tahun 2008, iaitu peningkatan sebanyak 18.7% dalam tempoh setahun. Bilakah suara pengguna ini dapat didengari?

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)
12 Februari 2010