Apakah masalah utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini? Adakah masalah rasuah, perhubungan etnik atau isu-isu keagamaan? 

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center,  masalah utama bagi rakyat Malaysia adalah masalah ekonomi, iaitu 43 peratus, manakala 9 peratus pula mengatakan isu etnik, dan 9 peratus lagi mengatakan rasuah.


Sementara itu, kajian lain yang dikendalikan oleh syarikat pengeluar kad kredit, Visa International, tiga isu terpenting bagi rakyat Malaysia adalah kos sara hidup, keselamatan pekerjaan dan tabungan peribadi.  

Berdasarkan kepada rumusan daripada kedua-dua kajian, jelas bahawa isu ekonomi dan kewangan merupakan persoalan utama dalam pemikiran masyarakat pengguna Malaysia.

Semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, terdapat satu ungkapan yang sering diperkatakan iaitu “It is the economy, stupid!” untuk mengingatkan kepada  semua bakal calon presiden bahawa walaupun pengundi mengalami pelbagai isu seperti peperangan, skandal dan masalah sosial, namun isu terpenting bagi mereka adalah isu ekonomi seperti keselamatan pekerjaan, harga barangan dan kualiti hidup.

Manakala, dalam satu kajian global yang dijalankan oleh BBC, penduduk dunia mengatakan bahawa  isu terpenting yang perlu diberikan keutamaan bukanlah perubahan iklim atau keganasan, tetapi masalah kemiskinan.

Namun begitu, apabila menatap surat khabar setiap hari, bukanlah isu ekonomi yang diberi perhatian yang sewajarnya, tetapi pelbagai isu yang lain seperti keagamaan, skandal dan politik.  Nampaknya, tumpuan lebih menjuruskan kepada isu-isu lain, tetapi bukannya isu ekonomi. 

Keterlaluan dalam memberikan tumpuan kepada isu-isu ini juga sebenarnya boleh menjejaskan kedudukan ekonomi negara kerana ia boleh mengurangkan keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap kestabilan dan perpaduan rakyat.

Untuk membina ekonomi pendapatan tinggi sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, pelbagai isu mesti ditangani dengan terus dan jujur.  Isu-isu ini termasuk gaji, produktiviti, latihan dan latihan semula, cara untuk mengekalkan talent pool dan menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam perniagaan. Begitu juga usaha perlu dilakukan bagi melahirkan pengguna yang matang, yang tidak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan serta berkeyakinan diri untuk dapat menyesuaikan diri dengan mengubah corak penggunaan diri apabila menghadapi kegawatan ekonomi, bersedia menghadapi perdagangan yang adil dan bebas, liberalisi, pencukaian dan pelbagai isu yang lain.

Walaupun terdapat beberapa kenyataan daripada kerajaan tentang isu ekonomi, tetapi arah dan hala tujunya tidak begitu jelas. Sebagai contoh, dalam isu subsidi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sering membuat kenyataan yang berbeza-beza sehingga mengelirukan pengguna Malaysia, apakah sebenarnya yang ingin kerajaan lakukan dalam isu subsidi ini. 

Demikian juga dengan kenyataan tentang ekonomi pendapatan tinggi?  Adakah ini akan memberi manfaat kepada rakyat?  Apakah ia bermaksud para pengguna dan pekerja serta keluarga mereka perlu membuat pengorbanan jangka pendek, untuk mendapatkan keuntungan jangka panjang? 

Ramai golongan remaja dan belia di negara kita, yang jika diberi peluang,  ingin pindah ke negara lain. Apakah yang kita mampu lakukan untuk mengekalkan mereka untuk terus berada di Malaysia?

Sudah tentu persoalan-persoalan ini bukan mudah untuk dijawab.  Namun jika kita ingin menuju ke arah pencapaian tahap ekonomi berpendapatan tinggi, sudah tentu kita terpaksa meneliti dan membahaskan isu-isu ini.

Pekerja, pengguna, belia, suri rumah tangga dan masyarakat hendak mempunyai ketahanan mental dalam menangani cabaran-cabaran baru ini,.  Mereka harus diberikan kesedaran dan pendidikan untuk memahami isu ini dan digalakkan untuk membahaskannya.  Proses pendidikan yang serius dan sesi perundingan yang berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan rakyat Malaysia memahami perubahan yang sedang berlaku serta ada buy-in dalam proses perubahan ini.  Dengan melalui pendidikan dan sesi perundingan ini, kita dapat memastikan rakyat Malaysia bersedia untuk melakukan pengorbanan jangka pendek demi merealisasikan hasrat dan kepentingan negara untuk mencapai matlamat jangka panjang.  Justeru, kita harus memberikan keutamaan yang sewajarnya kepada isu-isu ekonomi.

Datuk Marimuthu Nadason, 
Presiden FOMCA