BANGI, 21 September 2013 – Seramai 117,021 penyertaan telah diterima oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam pertandingan kepenggunaan sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2013. Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagi meraikan para pemenang pertandingan ini, FOMCA telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar, yang mewakili Dato’ Haji Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.


Seramai 70 orang pemenang telah menerima hadiah masing-masing. Sebanyak RM220,000 hadiah wang tunai disediakan untuk para pemenang.

Pada tahun ini, FOMCA telah mengadakan 11 jenis pertandingan kepenggunaan, iaitu mengarang esei, melukis poster, mereka bentuk poster grafik, melukis kartun, blog, buku skrap, video montaj, `speak up’, mewarna, anugerah penyertaan terbanyak dan kempen penjimatan air `MyWater’.

Pemenang bagi pertandingan video montaj dan `speak up’ akan menerima hadiah mereka semasa Majlis Anugerah Standard dan Akreditasi Kebangsaan yang dijadual diadakan pada bulan November 2013.

Pada tahun ini, FOMCA telah mengadakan sesi jerayawara pertandingan di 140 buah sekolah, yang melibatkan 43,932 orang pelajar. Selain itu, pertandingan mewarna diadakan di 11 buah pasar raya Giant dan 40 buah komuniti, yang membabitkan 33,459 orang kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah, berusia antara 4 tahun hingga 12 tahun. 

Selain daripada majlis penyampaian hadiah, diadakan juga pelbagai aktiviti lain, antaranya pertandingan mewarna kepenggunaan untuk kanak-kanak dan dewasa, pameran oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta, demonstrasi oleh Unit K9, Polis Diraja Malaysia, beraneka permainan kepenggunaan serta sesi ceramah tentang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Turut hadir ialah Datuk Dr. Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, Prof. Dato’ Dr. Saran Kaur Gill, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Encik Nordin Bin Mohd Radzi, mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dilaporkan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia