ALOR SETAR, 10 JUN 2013 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan Majlis Makan Malam sempena ulang tahun ke-40 penubuhannya.

Majlis Makan Malam tersebut diadakan di hadapan Balai Besar, Alor Setar, Kedah, tempat FOMCA ditubuhkan 40 tahun yang lalu, iaitu 10 Jun 1973.

Pada tarikh tersebut, lapan buah persatuan pengguna negeri berkumpul ketika menghadiri mesyuarat Majlis Pengguna Malaysia dan Majlis Pelancaran Majlis Penasihat Pelindungan Pengguna Kebangsaan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Encik Musa Hitam (kini Tun Musa Hitam), yang ketika itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian.


Dalam majlis tersebut, Encik Musa Hitam mencadangkan persatuan pengguna negeri menubuhkan sebuah persatuan pengguna peringkat kebangsaan bagi mewakili persatuan pengguna di peringkat kebangsaan.

Berikut daripada cadangan tersebut, persatuan-persatuan pengguna yang menghadiri majlis tersebut telah bersetuju menubuhkan sebuah persatuan peringkat kebangsaan yang dikenali ketika itu sebagai Persatuan Pengguna-Pengguna Kebangsaan Malaysia (kini dikenali sebagai Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia).

YAB Dato’ Paduka Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah Darul Aman telah menjadi tetamu kehormat Majlis Makan Malam tersebut. Turut hadir YB. Dato' Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Dr. Marimuthu Nadason, presiden FOMCA dan Indrani Thuraisingham, Ketua, Pejabat Consumers International bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Pada majlis tersebut, bekas presiden FOMCA dan bekas Ahli Majlis Tertinggi FOMCA menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

 

 

 

Seramai 100 orang menghadiri majlis makan malam itu, yang terdiri daripada wakil ahli gabungan FOMCA, persatuan pengguna negeri, agensi kerajaan, syarikat swasta dan sebagainya.

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)