Masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami tentang jenis sistem pembetungan yang terdapat di Malaysia. Pada pandangan mereka, selagi mereka berjaya mengepam bahan buangan melalui tandas, maka mereka percaya ada pihak lain yang akan menguruskan bahan buangan tersebut.

Tanggapan sedemikian menyebabkan ramai yang belum dapat menghayati kepentingan perkhidmatan pembetungan negara memandangkan ia tidak memberi sebarang kesan kapada mereka secara terus.

Keadaan ini menyebabkan sehingga tahun 2010, dianggarkan hanya 5% atau 69,000 buah tangki tangki septik individu sahaja yang pernah dikosongkan.

Kegagalan 95% atau 1.22juta buah tangki septik individu yang tidak dikosongkan merupakan antara salah satu faktor peccemaran di sungai-sungai, yang seterusnya menyebabkan pencemaran kualiti bekalan air kepada pengguna.

Sebelum Januari 2008, Indah Water Konsortium (IWK) telah diberi mandat untuk kerja-kerja pengosongan tangki septik dan caj perkhidmatan dikenakan kepada pemilik premis terlibat.

Setelah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dikuatkuasakan pada januari 2008, pemilik premis bertanggungjawab untuk menyelenggarakan dan mengosongkan tangki septik masing-masing. Bilangan premis yang mengosongkan tangki septik semakin menurun.

Sehubung dengan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN) telah menganjurkan Kempen Kesedaran Mengosongkan Tangki Sepik Individu Peringkat Kebangsaan di Muar, Johor. Oleh itu pemilik rumah hendaklah sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk mengosongkan tangki septik.

Jikalau tangki septik tidak dikosongkan, ia akan menyebabkan bau busuk yang amat tidak disenangi, gangguan atau kerosakan pada operasi tandas-tandas, singki dan paip-paip sanitari, peningkatan risiko terhadap penyakit serta penurunan kualiti sumber air.

Pemilik rumah bertanggungjawab untuk mengosongkan tangki septik sekali dalam setiap tiga tahun. Di Semenanjung Malaysia, terdapat dua pengendali berlesen utama yang memberi perkhidmatan pengosongan tangki septik iaitu IWK dan Maajari Services Sdn.Bhd.

Pengguna yang hendak mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan pengosongan tangki septik, boleh menghubungi IWK di 1-800-88-3495 (Untuk semua Negeri Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan) atau Majaari Services di 09-947 0005(Untuk Kelantan).

Vanitha Vasu 
Forum Air Malaysia