Kuala Lumpur, 25 Januari 2011 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan album lagu dan pertandingan kepenggunaan 2011 di sini pada hari ini.

Album lagu, yang bertajuk ”Hak dan Peranan Pengguna – Ke Arah Penggunaan Berhemat”, memuatkan 10 buah lagu, iaitu sebuah lagu tema berjudul ”Perubahan Bermula Dengan Saya”, 8 lagu berdasarkan 8 hak pengguna dan sebuah lagu instrumental tema. Album lagu ini diterbitkan sebagai bahan pendidikan bagi Kempen Konsumer Kebangsaan yang dianjurkan oleh FOMCA. Album ini akan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai Album Lagu Pendidikan Kepenggunaan Pertama di Malaysia.

Selain itu, FOMCA juga melancarkan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2011. Program pertandingan yang masuk tahun ke-10 ini mengandungi 9 jenis pertandingan yang dibuka kepada semua peringkat masyarakat.

Pada tahun 2010, pertandingan kepenggunaan ini telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records kerana menerima penyertaan yang tertinggi, iaitu 61,044 penyertaan.

Majlis pelancaran album lagu dan pertandingan kepenggunaan telah dirasmikan oleh Tan Sri Jins Shamsudin, iaitu Seniman Negara dan Ahli Dewan Negara. Seramai 200 orang menghadiri majlis pelancaran yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur. Para hadirin juga telah disajikan dengan nyanyian semua lagu yang dimuatkan dalam album lagu kepenggunaan ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, P. Kamanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor dan Harun Salim Bachik, Presiden Persatuan Seniman Malaysia.

Rakyat Malaysia dipelawa untuk menyertai pertandingan kepenggunaan ini. Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di laman web: www.mypengguna.com.

 


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman