PETALING JAYA, 8 April 2011 - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan Minggu Tidak Menonton Tv pada hari ini. Kempen ini akan berlangsung pada 21 hingga 27 April di seluruh negara.

Kempen Tidak Menonton TV merupakan acara di peringkat antarabangsa yang bermula pada tahun 1994 di Amerika Syarikat. FOMCA telah mula mengadakan kempen ini pada tahun 2008, bersempena dengan Kempen Konsumer Kebangsaan.

Bercakap dalam sidang media melancarkan kempen tersebut, Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA berkata, Kempen Tidak Menonton TV ini diadakan disebabkan tabiat menonton televisyen dan peralatan berskrin yang terlalu lama, menyebabkan banyak berlaku masalah, terutamanya kepada kanak-kanak.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Malaysia, kanak-kanak menghabiskan masa secara antara 3 hingga 5 jam sehari menonton/menggunakan peralatan berskrin (termasuk televisyen, computer dan telefon bimbit). Manakala di Amerika Syarikat pula, masa menonton televisyen sahaja adalah 4.57 jam sehari.

Akibat daripada tabiat menonton tv yang lama ini menyebabkan kanak-kanak dan remaja tidak melakukan aktiviti berbentuk fizikal. Ini menyebabkan mereka menghadapi masalah obesiti, hipertensi dan kencing manis.

Justeru, kempen ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak dan remaja mengurangkan tabiat menonton tv dan peralatan berskrin kurang daripada 2 jam sehari. Sebaliknya, pada tempoh tersebut, mereka melakukan aktiviti lain bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.

Antara aktiviti yang boleh diadakan adalah bermain dengan haiwan peliharaan, mewarnakan lukisan atau mencantumkan gambar), atau aktiviti berkeluarga seperti melawat muzium atau zoo, bermain kad atau permainan dalam rumah yang lain, menyusun gambar keluarga dalam album dan sebagainya.

Sepanjang kempen ini diadakan, FOMCA akan menjalankan beberapa aktiviti, antaranya mengedarkan risalah kempen di seluruh Lembah Klang dan bandar-bandar utama di seluruh Malaysia. Selain itu, risalah kempen juga diedarkan kepada kanak-kanak di Tadika Kinderland.

FOMCA juga akan melakukan aktiviti kempen di Tadika Kinderland, Kota Kemuning. Pada 27 April 2011, kanak-kanak di tadika tersebut akan berkongsi pengalaman mereka apabila tidak menonton telivisyen sepanjang kempen diadakan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ooi Geok Ping, wakil Tadika Kinderland.

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
’Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Mengenai Minggu Tanpa Televisyen

NO TV WEEK !!!
Tutupkan TV dan Hidupkan Kekeluargaan!

21 – 27 April ialah Minggu Tidak Menonton TV!

Ini ialah tahun ketiga FOMCA menganjurkan kempen ini sempena Kempen Konsumer Kebangsaan (atau Kempen 3K) 2008-2012. Dalam kempen ini, orang ramai diminta untuk menutupkan TV mereka selama seminggu. Ini juga boleh dilanjutkan lagi dengan Minggu tanpa Skrin yang mana merangkumi komputer, telefon bimbit, alat permainan video dan juga alat elektronik yang berskrin. Tujuan kempen ini ialah untuk menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa untuk menghabiskan masa lapang bersama anak-anak mereka dengan melakukan aktiviti lain yang lebih aktif dan berinteraksi.

Pada tahun ini, FOMCA akan mengadakan kempen ini dengan menjemput orang ramai untuk menyahut cabaran dengan tidak menonton TV selama seminggu dan menggantikan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang lain. Anda boleh menganjurkan Minggu Tidak Menonton TV di rumah, di pejabat atau di kelas anda dengan menjemput semua orang untuk menyertai kempen tersebut. Anda boleh memuat turun kad laporan untuk mencatat jenis aktiviti yang anda lakukan ketika tidak menonton TV atau menggunakan sebarang alat elektronik yang berskrin. Anda juga boleh memuat turun brosur Minggu Tidak Menonton TV untuk mendapat 60 idea aktiviti-aktiviti yang anda boleh jalankan dalam Minggu Tidak Menonton TV.

Kongsikan cerita atau pengalaman anda dengan kami menerusi e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Perubahan bermula dengan anda!

Muat Turun Kad Laporan Kanak-kanak

Muat Turun Brosur Minggu Tanpa Televisyen