Bukit Beruntung, 18 Disember 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor telah melancarkan Kempen Gaya Hidup Sihat bagi tahun 2010 di sini hari ini.

Kempen yang diadakan sempena Kempen Konsumer Kebangsaan bertujuan untuk memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan pengguna.

Ini selaras dengan tema Kempen Konsumer Kebangsaan, ”Perubahan Bermula Dengan Saya” yang ingin mengubah pemikiran pengguna agar melakukan perubahan terhadap diri mereka dalam menghadapi perubahan global.

Kenaikan kos hidup yang melanda dunia pada hari ini perlu dihadapi oleh pengguna dengan melakukan perubahan terhadap corak perbelanjaan mereka.

Ini termasuklah menanam sendiri sayur-sayuran di rumah untuk mengurangkan kos perbelanjaan membeli sayur-sayuran. Pengguna yang mengamalkan gaya hidup sihat pula dapat memastikan mereka hidup dengan sejahtera. Dengan ini mereka akan memastikan kesihatan mereka sentiasa baik dan seterusnya ini dapat mengurangkan perbelanjaan kesihatan.

Seramai lebih 300 orang telah menghadiri majlis pelancaran kempen ini yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, YB P. Kamalanathan. Turut diadakan semasa pelancaran kempen ini ialah pemeriksaan kesihatan percuma. Antaranya pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula, berat badan, ujian pap smear dan pemeriksaan mata.

Turut hadir ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA.


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman