Bera, 12 Disember 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Petronas telah melancarkan Kempen Tanam Sendiri, Jimat Belanja bagi tahun 2010.

Kempen ini telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, di Kompleks Rakan Muda Daerah Bera, di sini hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Ismail menyeru pengguna agar menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna bagi menangani sikap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Beliau membuat perbandingan tentang sikap peniaga di negara maju yang menganggap pengguna sebagai raja. Oleh itu mereka mengamalkan perniagaan yang beretika. Namun di Malaysia, peniaga pula menjadi raja kerana pengguna gagal menggunakan kuasa beli yang ada pada mereka. Walaupun mereka merungut harga barang yang tinggi di kedai-kedai tertentu, tetapi mereka masih melanggani kedai tersebut. Sepatutnya pengguna mengambil sikap tidak membeli di kedai itu bagi mendesak peniaga itu menurunkan harga.

Beliau memuji kempen menanam sayur-sayuran yang diadakan oleh FOMCA kerana ia dapat membantu pengguna mengurangkan perbelanjaan harian mereka. Beliau meminta agar pengguna dapat memanfaatkan kempen yang dijalankan ini.

Semasa majlis pelancaran tersebut, Dato’ Sri Ismail telah diberikan cenderamata berupa sebatang anak pokok cili oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA.

Pada akhir majlis pelancaran, Dato’ Sri Ismail dan Dato’ Marimuthu menanam sebatang anak pokok manggis di perkarangan kompleks.

Seramai 200 orang yang menghadiri majlis pelancaran kempen tersebut telah diberikan sebuah kit menanam sayur-sayuran yang disumbangkan oleh Pejabat Pertanian Daerah Bera.

Turut hadir di majis pelancaran kempen ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan A. Aruwan Ab. Aziz, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Pahang.


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman