Petaling Jaya, 19 April 2010 – Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan Pertandingan Mewarna Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010 di pasar raya Giant Bandar Kinrara dan Bukit Tinggi Klang pada 17 April dan 18 April 2010.

Seramai 467 kanak-kanak telah mengambil bahagian di pasar raya Giant Bandar Kinrara, manakala di pasar raya Giant Bukit Tinggi Klang pula seramai 194 kanak-kanak terlibat.


Pemenang pertandingan mewarna telah menerima hadiah hamper yang disumbangkan oleh GCH Retails (M) Bhd, iaitu pemilik pasar raya besar Giant. Selain itu, PEMANIS Sandiland (M)Sdn Bhd menjadi penaja minuman pertandingan mewarna. Semua peserta diberikan sijil penyertaan.

Pertandingan mewarna ini merupakan sebahagian daripada program pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010, yang dianjurkan oleh FOMCA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

FOMCA telah memulakan program siri jelajah, yang melibatkan pertandingan mewarna semenjak 27 Mac dan dijangkakan berakhir pada 10 Julai 2010.

Pertandingan mewarna diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, yang melibatkan 23 Pasar raya Giant dan 6 kawasan komuniti. Pertandingan yang terbahagi kepada 3 kategori terbuka kepada kanak-kanak berumur 4 tahun hingga 12 tahun.

Acara tahunan ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan kepenggunaan dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat umum. FOMCA juga berharap peserta program dapat menukar minda dan perlakuan mereka melalui kesedaran dan mewujudkan perubahan gaya hidup ke arah penggunaan berhemat.

Di samping mewarna, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kepenggunaan menerusi pameran dan risalah yang diedarkan. Peserta juga diberikan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan beg plastik dan menggantikan beg kertas atau beg Kempen Konsumer Kebangsaan (3K). Beg 3K ini diedarkan kepada semua peserta pertandingan mewarna.

Selain pertandingan mewarna ini, FOMCA turut mengadakan Pertandingan lain seperti Melukis Poster, Mengarang Esei, Melukis Kartun, Fotografi, Buku Skrap& Folio dan Blog Kepenggunaan.

Semua pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa IPT dan orang awam. Tarikh tutup penyertaan pertandingan ialah pada 18 Jun 2010 dan untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.mypengguna.com.

Siti Rahayu Zakaria
22 April 2010