PETALING JAYA, 16 APRIL – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan Kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen di sini pada hari ini.

Kempen tersebut yang berlangsung pada 21 hingga 27 April merupakan sebahagian daripada Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) yang kini dijalankan oleh FOMCA selama 4 tahun, 2008-2010.

Ketika melancarkan kempen tersebut, Dato’ Paul Selva Raj, yang merupakan Koordinator 3K, menjelaskan bahawa kempen ini tidak bertujuan untuk memboikot televisyen. Sebaliknya ia bermatlamat untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat dalam keluarga.

Di samping itu, kempen ini ingin mengurangkan tempoh menonton televisyen bagi kanak-kanak, yang secara puratanya menonton antara 4 hingga 6 jam sehari pada masa ini.

Dato’ Paul, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), berkata, “Kanak-kanak yang menonton tv secara berlebihan ini menyebabkan mereka mengamalkan gaya hidup suka bersendirian dan tidak banyak melakukan aktiviti fizikal. Ini menyebabkan mereka menghidap penyakit obesiti, hipertensi dan diabetes.”

Bagi menjayakan kempen ini, FOMCA telah berkerjasama dengan Kemas untuk mengadakan aktiviti di 4 buah tadika Kemas di Rawang, Selangor; Kuala Kangsar, Perak; Seremban, Negeri Sembilan; dan Batu Kantomen, Kuala Lumpur. Selain itu, aktiviti juga diadakan di sebuah tadika swasta di Petaling Jaya, iaitu Kinderland Playhouse.

Sepanjang tempoh tersebut, kanak-kanak di tadika tersebut diminta untuk tidak menonton televisyen. Ibu bapa kanak-kanak tersebut telah dibekalkan dengan sebuah buku laporan untuk mencatatkan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak apabila tidak menonton televisyen.

Pada 27 April, kad laporan itu akan dikutip semula untuk dibuat analisis. Pada hari tersebut, kanak-kanak diminta untuk menceritakan pengalaman mereka sepanjang kempen itu berlangsung. Selain itu ibu bapa turut diminta berkongsi pengalaman mereka memantau aktiviti anak-anak apabila tidak menonton televisyen.

Turut hadir ialah Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, FOMCA dan Cik Liew Siew Hui, Pengurus Komunikasi dan Mobilisasi Sumber, FOMCA.

Ibu bapa yang berminat untuk menyertai kempen ini boleh melayari laman web: www.kkk.org.my.

 

 

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN

16 April 2010