Kuala Terengganu - Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) sedang menjalankan Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai SWITCH!

Program yang diadakan pada hujung minggu itu, melibatkan pengguna daripada daripada pelbagai lapisan. Puan Lim Shok Hong, Pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM) berkata, “Peserta program agak terkejut apabila mengetahui bahawa mereka sendiri boleh mengira kos tenaga elektrik. Peserta juga didedahkan kepada kalkulator audit tenaga dan pemilihan produk elektrik yang cekap tenaga di laman web SWITCH!.”


Pelbagai komen yang diperolehi daripada peserta program, antaranya:

  1. Mereka gembira kerana dapat mengetahui cara untuk mengawal penggunaan elektrik
  2. Ingin mengetahui perkembangan mengenai kecekapan tenaga yang dilihat sebagai cara yang betul untuk menjimatkan penggunaan tenaga
  3. Mencadangkan untuk mengawal iklan yang mengelirukan tentang kebolehan peralatan elektrik yang boleh menjimatkan elektrik.
  4. Berharap kerajaan menyambung usaha sebegini dengan lebih rancak lagi ke peringkat akar umbi

Lim juga berkata, “Dalam bengkel tersebut peserta juga dapat berkongsi pengalaman mereka sendiri, dan mencari jalan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. Apa yang unik ialah kebanyakan masalah ini berkaitan dengan isu kecekapan tenaga.”

Malahan, tambah Lim lagi, dua orang peserta berkongsi pengalaman mereka membeli alat penjimat tenaga yang berharga RM 800, namun alat tersebut tidak berfungsi. 

”Ini disebabkan alat ini gagal menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di rumah mereka. Saya telah meminta mereka membuat aduan aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).”, jelas Lim lagi

Lim menasihatkan pengguna agar berhati-hati bila membeli peralatan seperti itu. “Pengguna tertipu kerana kaedah pemasaran yang mengelirukan. Mereka menggunakan logo-logo SIRIM, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasarkan produk mereka.”

”WECAM sedang membuat kajian tentang alat penjimatan ini sekali lagi. WECAM telah mengutarakan isu ini kepada pihak berkuasa tetapi ia masih berulang. Pengguna juga tertipu disebabkan penjualan ini dilakukan di pasar raya-pasar raya terkenal,” kata Lim.

Lim Shok Hong
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
7 April 2010