PETALING JAYA, 20 MAC - Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) telah dilancarkan secara rasmi pada hari ini. Majlis pelancaran telah dilakukan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sebuah hotel di sini.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC dan Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif. CRRC.

CRRC, yang merupakan bahagian penyelidikan FOMCA, telah ditubuhkan pada tahun 2008. Ia merupakan penaikan taraf Pusat Sumber NGO (NGO Resource Centre) yang telah ditubuhkan oleh FOMCA pada tahun 1992.

Pada 16 September 2008, CRRC telah diluluskan pendaftarannya sebagai syarikat berhad menurut jaminan, di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

CRRC memberikan tumpuan kajiannya berdasarkan kepada kaedah dan pendekatan berasaskan bukti bagi mendapatkan penyelesaian yang konkrit dan boleh dilaksanakan bagi menangani isu-isu berkaitan perlindungan pengguna.

Dalam usaha tersebut, CRRC menjalankan kaji selidik, kajian literatur, perbincangan meja bulat, perbincangan kumpulan fokus, pengumpulan pandangan pakar dan sebagai kaedah penyelidikan yang lain.

Pada ini, CRRC menjalankan beberapa aktiviti, antaranya:

 

Mengendalikan laman web yang memberikan tumpuan untuk mendidik pengguna tentang isu semasa.
Membantu akhbar New Straits Times dalam projek menganalisis perbelanjaan isi rumah.
Memantau harga bagi 32 barang
Mengadakan perbincangan meja bulat bagi harga makanan dan keselamatan makanan di Malaysia
Membuat kajian terhadap pemasaran makanan ringan kepada kanak-kanak
Menjalankan kajian tentang pemasaran alat permainan kepada kanak-kanak
Memantau iklan yang tidak beretika
Menjalankan kajian terhadap permasalahan yang dihadapi pengguna di kawasan luar bandar dan bandar.
Membuat kajian terhadap pembaharuan undang-undang kepenggunaan di Malaysia dan juga mengendalikan kajian tentang corak penggunaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah CRRC Consumer Review, yang merupakan jurnal dwi-tahunan terbitan CRRC.

Jurnal ini memuatkan kumpulan rencana yang ditulis oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing berkaitan isu kepenggunaan.

CRRC Consumer Review memberikan tumpuan dalam menganalisis isu-isu yang memberi kesan kepada pengguna serta memberikan cadangan penyelesaian yang konkrit dan boleh dilaksanakan oleh semua pihak, khususnya agensi kerajaan yang membuat dasar yang berkaitan dengan kepentingan pengguna.

Keluaran pertama CRRC Consumer Review mengandungi lapan tajuk rencana, yang bertemakan Harga Makanan dan Keselamatan Makanan di Malaysia.

Mohd Yusof Abdul Rahman

 

{morfeo 2}