Kuala Lumpur, 18 Februari 2010 - Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melancarkan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010, anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) di Dewan Serbaguna, Institut Pengurusan Wanita, di sini hari ini.

Dalam ucapannya Datuk Sri Ismail Sabri memuji usaha yang dilakukan oleh FOMCA mengadakan pertandingan kepenggunaan selama 4 bulan untuk disertai oleh semua peringkat masyarakat.


Kementerian sendiri, menurut Dato’ Sri Ismail Sabri, akan mengubah konsep sambutan Hari Pengguna Malaysia, yang diadakan pada 26 Julai, kepada sambutan selama sebulan, yang dikenali sebagai Bulan Sambutan Hari Pengguna Malaysia.

“Saya berpandangan bentuk sambutan ini akan lebih berkesan bagi memberikan pendidikan dan kesedaran kepenggunaan kepada orang ramai kerana ia melibatkan jangka masa yang lebih panjang dan pelbagai program dan aktiviti boleh dilakukan dalam tempoh tersebut,” ujar Dato’ Sri Ismail lagi.

Dato’ Sri Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa hasil kajian yang telah dilakukan oleh Kementeriannya pada tahun 2009. Antaranya, tahap kesedaran pengguna di Malaysia hanya 58 peratus. Selain itu, 92 peratus responden kajian tersebut mengenali FOMCA sebagai sebuah persatuan pengguna.

Dalam pada itu, Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, dalam ucapan alu-aluannya, mengatakan FOMCA menganjurkan sembilan kategori pertandingan pada tahun 2010.

Antara pertandingan tersebut ialah pertandingan esei kepenggunaan, melukis poster, buku skrap dan polio, mewarna, fotografi dan blog kepenggunaan.

Datuk Marimuthu juga menyentuh tentang tumpuan topik pertandingan kepenggunaan yang menjurus kepada Kempen Konsumer Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, ”Perubahan Bermula Dengan Saya.”

Selain itu, isu tentang pemanasan global turut diketengahkan. Ini kerana, menurut Datuk Marimuthu, memberikan kesan kepada pelbagai masalah, seperti alam sekitar, kekurangan bekalan makanan, penularan wabak penyakit dan sebagainya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Mohd Zain Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Puan Mahani Tan Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha, dan Dr. Mohd Mokhtar Tahar, Pengarah, Bahagian Kepenggunaan.

Mohd Yusof Abdul Rahman
18 Februari 2010