PETALING JAYA, 5 FEB - Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Utama Shahrir Abdul Samad telah merasmikan portal berita, KonsumerKINI hari ini di Petaling Jaya.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengalu-alukan usaha FOMCA mewujudkan KonsumerKINI sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu kepenggunaan kepada rakyat.

“Saya menyokong usaha FOMCA ini kerana usahanya menyebarkan pandangannya melalui KonsumerKINI untuk diketahui oleh pihak-pihak yang berkenaan. Walaupun adakalanya saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan FOMCA, terutamanya ketika saya menjadi menteri dahulu, tetapi rasa tidak bersetuju itu lebih kepada masalah strategik dan fikiran yang berbeza.”, ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau mengulas peranan kerajaan yang sewajarnya menyebarkan maklumat sebanyak mungkin kepada rakyat agar rakyat faham tentang sesuatu dasar dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Kerajaan perlu mempunyai satu dasar tentang penyebaran maklumat kepada rakyat. Apabila kerajaan telah menetapkan sesuatu dasar, maka dasar itu perlu dikongsikan kepada semua pihak, terutama sekali rakyat, agar mereka memahami mengapa sesuatu dasar itu dibuat.

 

Datuk Shahrir Samad sedang melayari portal KonsumerKINI selepas melancarkannya. Di sebelah kiri beliau ialah Datuk Marimuthu, presiden FOMCA. Turut bersama ialah Dato’ Paul Selva Raj (CEO CRRC) di sebelah kiri, dan Muhammad Sha’ani Abdullah, CE0 NCCC paling kanan.

Beliau mengambil contoh tentang satu laporan akhbar berbahasa Inggeris tentang wujudnya ketirisan atau pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan sebanyak RM28 bilion. Laporan tersebut turut disertai oleh kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Kedua dan Laporan Ketua Audit Negara. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan tentang masalah tersebut agar tidak wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat. Namun ini tidak gagal dilakukan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut melancarkan Kempen Penggunaan Berhemat, yang merupakan satu daripada Kempen Konsumer Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA selama 4 tahun, iaitu 2008 hingga 2012.

Dalam pada itu, Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan kewujudan KonsumerKINI adalah untuk memudahkan pelbagai pihak, khususnya media untuk mendapatkan pandangan FOMCA tentang sesuatu isu kepenggunaan. Beliau memahami masalah yang dihadapi oleh media untuk mendapatkan maklum balas FOMCA tentang sesuatu isu. Oleh itu dengan melayari portal KonsumerKINI, media boleh mengambil pandangan FOMCA.

Dalam majlis itu juga diadakan acara menandatangani Memorandum Persefahaman antara FOMCA dengan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC). NCCC dan CRRC pada mulanya ditubuhkan oleh FOMCA sebagai unit aduan dan penyelidikan. Namun kini kedua-dua organisasi tersebut telah didaftarkan sebagai syarikat tanpa jaminan pada tahun 2008. Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk mewujudkan jaringan antara ketiga-tiga organisasi.

KonsumerKINI boleh dilayari di www.konsumerkini.net.my. Selain itu, maklumat KonsumerKINI juga boleh diikuti melalui Twitter, iaitu www.twitter.com/konsumerkini.

Mohd Yusof Abdul Rahman
5 Februari 2010 , 12. 20pm