5 Februari 2010 - Pada hari ini, 5hb Februari 2010, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan portal berita pengguna, KONSUMERKINI – yang bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat pengguna di Malaysia dan sejagat mengenai berita, pandangan, pendirian FOMCA tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan kepenggunaan.


Isu-isu utama yang disiarkan dalam portal berita ini termasuk pendirian FOMCA tentang:

    1. Kenaikan harga makanan dan bahan api
    2. Subsidi makanan dan bahan api
    3. Penipuan
    4. Isu alam sekitar
    5. Pengangkutan awam
    6. Dasar persaingan
    7. Aduan dan tebus rugi
    8. Dasar tentang air dan tenaga
    9. Pemasaran kepada kanak-kanak

Sementara itu, FOMCA juga melancarkan Kempen Penggunaan Berhemat pada hari ini. Kempen ini merupakan sebahagian daripada Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K).

Kempen Konsumer Kebangsaan memberikan tumpuan kepada mewujudkan kesedaran dan pendidikan kepada para pengguna agar memahami hakikat cabaran dunia, menyedari kepercayaan dan nilai mereka sendiri yang boleh mempengaruhi tabiat perbelanjaan dan penggunaan serta bersedia mempelajari kemahiran dan pengetahuan baru untuk mengubah pemikiran, tabiat dan gelagat berbelanja mereka. 

Dalam menghadapi keadaan semasa global yang berlaku pada hari ini, apabila berhadapan dengan isu seperti kenaikan harga makanan dan bahan api, seringkali tindakan yang dilakukan adalah saling menyalahkan pihak lain. Ini bukanlah merupakan cara terbaik untuk menanganinya. Sebaliknya cara yang sesuai adalah bersedia untuk mengambil tanggungjawab, mempunyai ketahanan diri serta mempelajari kemahiran dan pengetahuan baru bagi menghadapi cabaran-cabaran baru ini. 

Antara senario dalam negara dan global yang berlaku ialah:

    1. Kenaikan harga bahan makanan
    2. Harga bahan api tidak menentu
    3. Peningkatan tarif  tenaga
    4. Penarikan balik subsidi
    5. Krisis kewangan global
    6. Ketidaktentuan peluang pekerjaan
    7. Keselamatan pekerjaan semakin berkurangan
    8. Kekurangan sumber air dan tenaga
    9. Perubahan iklim
    10. Negara dalam dunia ini yang saling bergantung antara satu sama lain

Pada bulan Jun 2008, FOMCA telah melancarkan Kempen Konsumer Kebangsaan atau Kempen 3K. Petronas telah menyertai kempen ini pada 1 Januari 2009. 
Tema kempen 3K ialah “Perubahan Bermula Dengan Saya”. 

Kempen Penggunaan Berhemat telah dilancarkan buat kali pertama pada 30 Januari 2009.

Selepas satu setengah tahun Kempen Konsumer Kebangsaan dijalankan, adakah ia mencapai perubahan yang dihasratkan? – Perubahan pemikiran dan kelakuan. 
Sepanjang tahun 2009, sebanyak 171 program latihan 3K di peringkat masyarakat, institusi pengajian tinggi, korporat dan badan bukan kerajaan telah diadakan, yang menjangkau 14,000 orang pengguna. Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah Kempen 3K. 

Bagi mengenal pasti perubahan yang sebenarnya berlaku ke atas  para peserta selepas mengikuti program Kempen 3K pada tahun 2009, kaji selidik susulan melalui temubual melalui telefon dan secara peribadi telah dilakukan bagi mengumpulkan data daripada para peserta yang dipilih secara rawak dalam tempoh sebulan selepas mereka menghadiri program Kempen 3K. 

Kaji selidik susulan ini bertujuan untuk mengenal pasti perubahan sikap sebenar yang dilakukan atau perubahan baru yang mereka amalkan.

Berdasarkan kaji selidik susulan tersebut, apakah perubahan baru yang telah mereka garap? 

    1. Jika diteliti daripada analisa kaji selidik susulan ini, memang terdapat perubahan sikap yang berlaku, antaranya: Menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
    2. Memberitahu kepada anak-anak supaya tidak kerap membuka pintu peti sejuk.
    3. Menggunakan bakul (bukannya troli) apabila membeli belah.
    4. Menarik keluar plag peralatan elektrik daripada soket apabila tidak digunakan.
    5. Menadah dan menggunakan air hujan untuk menyiram tanaman.
    6. Menggunakan beg 3K ketika membeli belah.
    7. Mengosok baju seminggu sekali
    8. Membaca label sebelum membeli produk makanan
    9. Kurangkan menonton televisyen dan VCD. Reducing usage of television and VCD
    10. Menyediakan senarai barangan sebelum membeli belah.
    11. Membuat anggaran perbelanjaan dan membawa wang secukupnya ketika membeli belah.
    12. Membasuh apabila mesin basuh telah penuh dengan pakaian.
    13. Membuka akaun simpanan di bank.
    14. Menyemak resit pembelian.
    15. Mulai menyediakan bajet. Membuat simpanan.
    16. Menggunakan baldi (sebagai ganti kepada salur getah) untuk mencuci rumah.
    17. Kurang makan di luar.
    18. Memaksa anak kurang menonton televisyen.
    19. Mulai bercucuk tanam di halaman rumah.
    20. Simpan wang dahulu sebelum membelanjakan pendapatan (bukannya berbelanja dahulu).
    21. Membeli berdasarkan keperluan, bukan mengikut kemahuan.
    22. Membandingkan harga.
    23. Kurang pergi menonton wayang gambar.
    24. Kini isteri menyediakan bajet bulanan.
    25. Membuat perbandingan harga antara pasar raya.
    26. Lebih berwaspada apabila membeli barang.

Justeru, program latihan dan beberapa kempen yang diadakan ini bertujuan untuk memberikan kesedaran terhadap perubahan sikap ini.

Oleh itu, FOMCA akan terus memperhebatkan Kempen 3K bagi melahirkan dan membentuk pengguna yang matang demi keperluan masa hadapan.

FOMCA juga menyeru pengguna agar memahami keadaan pasaran semasa dengan lebih baik, kuasa kerajaan yang terhad bagi menguruskan harga di pasaran, pemberikan subsidi yang tidak mampan, kemampuan pengguna untuk membuat pilihan yang produktif, serta membentuk keinginan mempelajari kemahiran dan pengetahuan baru ke arah menjadi pengguna yang berhemat.

Huraian tentang Penggunaan Berhemat

Penggunaan Berhemat bermaksud: 
Menganalisis secara kritikal pola penggunaan 
Adakah wujudnya pembaziran?
Adakah sesuai dengan jumlah pendapatan
Adakah ia berdasarkan keperluan atau kemahuan

Lebih menyedari tentang kepercayaan dan sikap yang mempengaruhi pola penggunaan 
Didorong bagi memenuhi keperluan 
Didorong oleh rakan sekerja
Menonjolkan imej yang hebat 
Kesetiaan kepada jenama 

Kesediaan untuk mengubah nilai dan sikap yang menyebabkan tabiat penggunaan yang negative.
Berbelanja berdasarkan keperluan 
Merancang kehidupan 
Merancang kewangan 
Dari pengguna pasif kepada pengguna aktif 
Jenama kepada jenama pasar raya 
Nilai untuk wang 

Kesediaan untuk mempelajari pengetahuan dan kemahiran baru bagi membentuk kelakuan yang lebih produktif. 
Tanam sendiri di rumah 
Perancangan kewangan 
Pengurusan kad kredit yang lebih baik 
Perancangan untuk bersara. 

Hasil daripada penggunaan berhemat: Kelakuan yang baru 

Menghentikan kelakuan yang lama 
Mengubah kelakuan sekarang
Menerima pakai kelakuan yang baru