PETALING JAYA, 16 JULAI – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengadakan aktiviti simbolik pada Hari Tidak Berbelanja yang diadakan di Taman Taman Tasik Sri Aman, Petaling Jaya pada hari ini.

Aktiviti `Membawa Bekal Untuk Makanan Tengah Hari’ ini disertakan oleh ahli jawatankuasa dan staf FOMCA serta ahli gabungannya, iaitu Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWPCA), Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users), Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Forum Air Malaysia (FAM), Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC).

Hari Tidak Berbelanja merupakan sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) yang dianjurkankan oleh FOMCA, dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). dan PETRONAS. Tahun ini merupakan tahun kedua FOMCA mengadakan Hari Tidak Berbelanja.

Hari Tidak Berbelanja ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada para pengguna agar memikirkan tabiat berbelanja mereka. Pada hari tersebut, para pengguna digalakkan agar tidak membuat sebarang pembelian yang tidak perlu.

Turut serta dalam aktiviti ini ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, Encik Muhammad Sha’ani Abdullah Setiausaha Agung FOMCA / Ketua Pegawai Eksekutif, NCCC, Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA dan Encik Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif, CRRC.