Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad mengadakan Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan Sempena Hari Pengguna Malaysia 2007 pada 11 Ogos 2007, bertempat di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Encik Mohd Zain bin Mohd Dom, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan Dato’ Ir Haji Amir Nordin bin Abdul Aziz, Pengurus Besar Kanan, TNB.


Pada majlis tersebut, seramai 78 jenis hadiah akan disampaikan kepada pemenang-pemenang bagi tujuh kategori pertandingan. Sebanyak lebih kurang RM150,000 hadiah wang tunai diberikan kepada para pemenang. 

Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2007 telah diadakan oleh FOMCA bagi pihak KPDNHEP. Sebanyak lapan kategori telah dipertandingkan. Pertandingan ini telah diadakan bagi tempoh selama tiga bulan, yang bermula pada 4 April 2007 sehingga 16 Julai 2007. 

Lapan pertandingan kepenggunaan berkenaan ialah:

  1. Mengarang Esei 4 bahasa untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan awam,
  2. Mengarang Esei 2 bahasa untuk guru, pensyarah dan warga emas,
  3. Melukis Poster untuk pelajar sekolah rendah dan menengah,
  4. Melukis Kartun,
  5. Fotografi untuk amatur, Filem Pendek,
  6. Buku Skrap dan Folio untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta
  7. Mewarna untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah.
  8. Debat Kepenggunaan bagi Institut Pengajian Tinggi Awam, Swasta dan Institut Penguruan Malaysia.

Sebanyak 16,016 penyertaan telah diterima bagi semua kategori pertandingan ini.

Pertandingan Debat antara IPTA, IPTS dan Institut Perguruan Malaysia telah diadakan terlebih dahulu pada 23 hingga 26 Julai 2007 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten),  
Bangi, Selangor. Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Majlis Debat Universiti Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini melibatkan sebanyak 35 buah institusi. Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan ini telah diadakan pada 26 Jun 2007, yang disempurnakan oleh Y.B Dato’ Dr Mohd Rudin bin Abdul Ghani, Setiausaha Parlimen, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bersempena dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah ini, telah diadakan pelbagai gerai pameran yang disertai oleh beberapa buah syarikat-syarikat yang menjadi penaja bagi program pertandingan kepenggunaan ini. Di samping itu turut diadakan sesi demontrasi oleh Unit Pengesan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

Pada sebelah pagi pula telah berlangsung pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Seramai lebih kurang 750 orang kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna itu. Sebanyak tiga kategori pertandingan mewarna dijalankan, iaitu kategori pelajar pra persekolahan,  pelajar tahap satu dan pelajar tahap dua. 

Sebagai usaha promosi pertandingan kepenggunaan ini, FOMCA telah mengadakan sesi penerangan di 19 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, yang melibatkan pelajar seramai 3,700 orang. Selain itu, FOMCA dengan kerjasama Pasar Raya Besar Giant telah mengadakan sesi promosi dan pertandingan mewarna di lima buah pasar raya besar Giant, iaitu di Bayan Baru, Seri Manjung, Tambun, Skudai dan Kelana Jaya. Seramai 2,502 kanak-kanak turut serta dalam pertandingan mewarna sepanjang sesi promosi tersebut.

Program pertandingan kepenggunaan ini merupakan kali ke-enam yang dianjurkan oleh FOMCA  bagi pihak KPDNHEP sempena dengan Hari Pengguna Malaysia, semenjak tahun 2002. 

Pertandingan Kepenggunaan ini telah mendapatkan kerjasama dan tajaan daripada pelbagai pihak, di antaranya  Giant, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Bernas, Astro, Jabatan Standard Malaysia, Radio Televisyen Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Jabatan Filem Negara, Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia, Angkatan Seni Foto Nasional Wilayah Persekutuan (Asfon WP), Carrefour, Fraser dan Neave, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Sirim Berhad, Pos Malaysia, Pos Malaysia, Proton Berhad, Puspakom, Konsortium Abass, Indah Water Konsortium, CNI, Kontena Nasional, Persatuan Pengguna Standard Malaysia, ERA Consumer Malaysia dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional. 

Utusan Malaysia, Sin Chew Daily dan Tamil Nesan merupakan media rasmi bagi pertandingan kepenggunaan 2007 ini.