Kad kredit adalah sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai. Ia juga dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutamanya ahli perniagaan. Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa dan Master Card.

Menurut Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut menjangkakan bahawa bilangan pemegang kad kredit di Malaysia akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang.

Namun begitu, penggunaan kad kredit mempunyai kebaikannya dan keburukan yang tersendiri.

Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu bebanan.

Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut, mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Ada juga sesetengah kedai meminta pemegang kad kredit menunjukkan kad pengenalan sebelum membuat bayaran menggunakan kad kredit. Amalan ini bagi memastikan pengguna kad kredit tersebut adalah pemilik yang sebenar. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang.

Selain itu, pengguna juga gemar menggunakan kad kredit apabila berada di luar negara. Sekiranya anda melancong ke luar negara, anda mungkin perlu menukarkan mata wang negara ke mata wang negara yang dilawati. Ini tidak perlu dilakukan oleh pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara automatik setiap kali kad kredit tersebut digunakan. Bagi kebanyakan pelancong, mereka lebih suka menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika berurus niaga terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa.

http://www.konsumerkini.net.my/v1/images/stories/images/images_28092010_debt.gifPemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa masalah. Ini disebabkan tidak semua peniaga mahu menerima pembelian secara kad kredit, terutamanya kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil. Selain itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih-lebihan kerana mereka tidak begitu peka atau perihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan. Oleh sebab itu, sering berlaku pemegang kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak sehingga menyebabkan mereka diisytiharkan muflis.

Jayasilan Kandasamy
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)