Sekurang-kurangnya satu kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku setiap tahun semenjak tahun 2006. Ini berdasarkan kepada laporan kemalangan yang melibatkan bas ekspres sebelum ini. 

Setiap kali kemalangan berlaku, siasatan dilakukan. Begitu juga pelbagai pandangan diberikan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya dan badan bukan kerajaan. Namun begitu, tiada sebarang perubahan serta peningkatan yang besar dilakukan terhadap persekitaran jalan raya, sistem jalan raya, keadaan bas, keperluan peraturan dan piawaian keselamatan jalan raya.

Pada tahun 2010, sebanyak 13 kemalangan berlaku yang melibatkan bas ekspres. Kemalangan ini telah meragut sebanyak 54 kematian. Jika tindakan dilakukan berdasarkan kepada hasil siasatan tragedi Bukit Gantang pada Ogos, 2007 telah dilaksanakan, maka kemalangan pada 26 Disember 2009 dan 20 Disember 2010 mungkin dapat diminimumkan kesannya ataupun boleh dielakkan daripada berlaku.

Terdapat banyak agensi yang terlibat dengan keselamatan jalan raya. Antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (sebelum Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) beroperasi), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), PUSPAKOM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perlancongan (Akta Perlesenan Kenderaan Perlancongan 1999). Semua agensi ini mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mengurangkan serta mengelakkan kemalangan di jalan raya.

Contohnya MIROS telah menjalankan kajian terhadap perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam. Hasil daripada kajian tersebut, MIROS telah memberikan cadangan bahawa perkhidmatan bas pada waktu malam perlu diharamkan. Begitu juga hasil kajian MIROS menunjukkan bahawa sistem operasi bas ekspres telah gagal memberikan perkhidmatan yang selamat dan selesa kepada penumbang dalam semua aspek.

Justeru, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia mengemukakan cadangan berikut bagi mengelakkan kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres pada masa hadapan.

  1. • Pemasangan Alat Perakam Data Perjalanan pada bas ekspres – yang tidak boleh diubah suai.
  2. • Pemasangan GPS pada bas ekspres
  3. • Pemandu yang berkualiti dan berlesen.
  4. • Bas hendaklah mematuhi standard UNECE, R66, R80 dan R36 dan keperluan keselamatan yang lain
  5. • Meningkatkan keadaan keselamatan di jalan raya– meningkatkan fungsi utama penghadang di jalan raya bagi mencegah kenderaan daripada  meluncur  masuk ke laluan yang bertentangan atau masuk ke dalam jurang.
  6. • Agensi pelesenan, mengeluar permit dan agensi penguatkuasaan keselamatan untuk bus persiaran dan kenderaan berat hendaklah diletakkan di bawah sebuah kementerian, iaitu Kementarian Pengangkutan  .
  7. • Laporan siasatan kemalangan hendaklah mudah diperolehi oleh pihak berkepentingan, termasuk orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan.
  8. • Sebuah agensi tunggal yang mengawal selia spesifikasi kenderaan perdagangan, keselamatan jalan raya (bagi pengguna persendirian dan perdagangan), serta menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan yang  telah dipinda.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
22 Februari 2011