Lampu isyarat berwarna kuning pada kereta merupakan ciri-ciri keselamatan penting yang membantu pejalan kaki serta pengguna jalan lain untuk mengetahui ke arah mana sebuah kereta akan menghala. Lampu isyarat kuning akan membolehkan pengguna-pengguna jalan raya untuk melihat kereta dengan jelas dan berwaspada terhadap arah tujuan kereta tersebut. 

Namun, sekarang ini didapati banyak kereta yang tidak menggunakan lampu isyarat yang betul. Lampu isyarat di sesetengah kereta tidak berwarna kuning, sebaliknya ditukarkan dengan lampu berwarna merah. Lampu merah ini boleh disalahertikan dengan warna ‘casing’ lampu merah yang mempunyai fungsi yang lain pula. 

Kekeliruan ini menyebabkan pemandu kereta lain mungkin tidak dapat melihat lampu isyarat kereta tersebut dengan jelas. Lampu isyarat sepatutnya menunjukkan warna yang berbeza secara jelas berbanding dengan lampu lain. Masalah lain adalah, sesetengah kereta mempunyai lampu isyarat yang diletakkan di tengah-tengah ‘casing’ lampu, dan bukannya di bahagian tepi.

Apabila lampu isyarat tidak ditempatkan di kedudukan yang sesuai,  maka pemandu kereta di sebelah sisi kenderaan tidak akan dapat melihat kerana lampu isyarat hanya ditunjukkan kepada pemandu di belakang kenderaan. Ini boleh menyebabkan kemalangan. 

Saiz lampu isyarat pada sesetengah kenderaan pula terlalu kecil. Apabila lampu isyarat tidak cukup besar dan terang, ia akan menyebabkan penglihatan yang kurang jelas ketika hujan atau cuaca yang buruk. Ada juga segelintir pemandu yang menyalakan lampu “fog” walaupun penglihatan amat jelas. Intensiti cahaya yang tinggi daripada lampu ini menyebabkan kesulitan dan ketidakselesaan bagi pemandu-pemandu yang lain.

Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan MS IEC 60810:2008, Lampu untuk Kenderaan di Jalan – Keperluan Prestasi (Semakan Pertama) (IEC 60810:2003, IDT). Dokumen Malaysian Standard ini untuk lampu yang boleh digantikan (lampu pijar dan ‘discharge’) untuk digunakan dalam lampu depan, lampu ‘fog” dan lampu isyarat untuk kenderaan jalan. Ini adalah khas untuk lampu-lampu yang didaftar dalam IEC 60809.

Walau bagaimanapun, standard ini juga boleh digunakan untuk lampu lain yang dikategorikan dalam ruang lingkup standard ini, serta untuk pembangunan masa depan, misalnya cahaya dihasilkan oleh diod pancaran cahaya (LED).

Kemalangan boleh terjadi kerana sesetengah pemandu mengubah suai kereta mereka tanpa mengikuti spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang betul serta tidak mementingkan keselamatan. Statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2010, jumlah kemalangan yang melibatkan motokar adalah sekitar 472,307 (peningkatan sebanyak 7.07% dari tahun 2008). Jumlah kemalangan yang melibatkan semua jenis kenderaan adalah 705,623 (peningkatan sebanyak 4.36% dari tahun 2008).

Para pemandu haruslah ingat bahawa mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan tidak sewajarnya menunggu sehingga pihak berkuasa mengenakkan tindakan ke atas mereka. Ciri-ciri keselamatan pada kereta harus dipastikan supaya berfungsi mengikut tujuannya dan bukan untuk bergaya. Para pemandu juga harus lebih bertanggungjawab terhadap tabiat pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan secara berkala untuk menjamin keselamatan mereka sendiri. 

Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia perlu mengenakan tindakan yang tegas terhadap pemandu-pemandu yang tidak mengikuti ciri keselamatan di dalam kereta mereka. Begitu juga kepada pemandu-pemandu yang membuat pengubahsuaian lampu kereta dan aksesori tanpa kebenaran. Pihak berkuasa juga harus memastikan bahawa kenderaan-kenderaan mengikuti peraturan-peraturan dan standard yang ada, serta melarang penggunaan lampu atau alat-alat yang berkemungkinan akan membahayakan keselamatan bagi mengurangkan jumlah kemalangan di Malaysia.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia