84% golongan muda menghabiskan masa lapang mereka di internet. Ini menunjukkan gaya hidup orang muda pada masa kini tidak dapat diasingkan lagi dengan dunia internet. Mereka melayari internet untuk pendidikan dan juga keseronokan mengisi masa lapang.

Rangkaian sosial seperti Facebook, Youtube atau Twitter telah menjadi cara baru untuk mereka berkenalan dengan kawan baru dan berkomunikasi antara satu sama lain.

Namun begitu, timbul persoalan sama ada dunia internet yang kian rapat dengan kehidupan anak-anak kita ini selamat? Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) menunjukkan bahawa 60% daripada responden kajian berkata mereka pernah menemui sesuatu yang mereka rasa menjijikkan, membimbangkan dan menakutkan ketika melayari internet. Ini menunjukkan risiko di internet yang sedia ada boleh mengganggu golongan muda.

Gangguan ini mungkin boleh menyebabkan mereka terdedah kepada sesuatu yang berbahaya seperti penculikan atau maklumat yang tidak sesuai seperti pornografi, yang boleh dilihat oleh kanak-naka, sehingga boleh mengganggu fikiran mereka. 

Kanak-kanak mungkin belum matang untuk membezakan maklumat yang mereka terima. Selain itu, kanak-kanak juga mungkin telah memberikan maklumat peribadi atau alamat rumah kepada orang yang mempunyai niat tidak baik. Keadaan ini boleh meletakkan keselamatan mereka dan ahli keluarga mereka dalam keadaan yang berbahaya. 

Untuk melindungi kanak-kanak dan memberi suatu suasana melayari internet yang sihat, ibu bapa perlu memainkan peranan yang amat penting. Bagi keluarga yang lebih berkemampuan, anak-anak memiliki komputer di bilik mereka sendiri. Meletakkan komputer di kawasan seperti ruang tamu di rumah membolehkan ibu bapa memantau laman web yang dilayari oleh anak-anak mereka serta mengetahui dengan siapa anak mereka sedang berkomunikasi. 

Komputer di rumah juga perlu dipasang dengan perisian anti-virus yang sesuai supaya dapat menyekat virus daripada menjangkiti komputer dan menyekat maklumat yang tidak sesuai kepada kanak-kanak. Ibu bapa juga boleh membimbing kanak-kanak dengan melayari internet secara bersama-sama. Ini juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluarga dan menjadi satu aktiviti masa lapang keluarga. 

Para ibu bapa juga boleh menerangkan tentang pornografi kepada anak-anak bagi mengelakkan kerisauan anak-anak terhadap apa mereka terlihat di internet. Ibu bapa juga patut belajar teknologi yang baru untuk meningkatkan pengetahuan mereka sendiri supaya dapat mengajar anak-anak mengenai teknologi komputer. 

Pendidikan tentang keselamatan internet kepada kanak-kanak adalah sangat penting. Kanak-kanak hanya melihat keseronokan internet, tetapi tidak menyedari bahaya yang sedia ada di internet. Pihak berkuasa perlu mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan internet kepada ibu bapa dan golongan muda supaya dapat mewujudkan penggunaan internet yang selamat dan sihat. 

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)